POLITIK

HISHAMMUDDIN SEDIA KEMBALI BERJUANG DALAM UMNO, FOKUS RAPATKAN PUCUK PIMPINAN

13/03/2026 12:13 AM

JOHOR BAHRU, 12 Mac (Bernama) -- Bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini menyatakan kesediaan untuk kembali aktif berjuang dalam parti itu sekiranya penggantungan keahlian beliau ditarik balik oleh pucuk pimpinan.

Ahli Parlimen Sembrong itu menyifatkan kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang membuka ruang untuk menerima semula ahli digantung, dipecat atau meninggalkan parti tanpa syarat,  sebagai satu penghargaan yang amat bermakna.

“Penting hari ini saya memberi kenyataan, penjelasan kerana sebelum ini saya telah menerima pertanyaan dan panggilan bertubi‑tubi berhubung kait dengan kenyataan Yang Berhormat Presiden UMNO tempoh hari.

”Saya bersama-sama warga Sembrong hari ini mengambil kesempatan ini untuk menyatakan bahawa kita rasa terharu dan berterima kasih atas apa yang telah dinyatakan oleh Presiden berhubung kait dengan keputusan pimpinan parti untuk menerima mereka yang telah pun dipecat atau digantung atau sudah keluar parti tanpa syarat,” katanya menerusi video berdurasi 2.42 minit di Facebook hari ini.

Hishamudin berkata sepanjang tiga tahun digantung, beliau tidak pernah menyerang atau meninggalkan UMNO dan bersedia untuk kembali berjuang bersama parti itu sekiranya pucuk pimpinan menarik balik penggantungan keahliannya.

“Isunya ialah status saya sebagai ahli UMNO... sebelum ini, Majlis Tertinggi telah membuat keputusan untuk menggantung saya.

“Jadi, esok kalau betul ikhlas pendirian pucuk pimpinan parti dan mereka menarik balik penggantungan terhadap diri saya, saya akan kembali terus berjuang dalam UMNO, lebih‑lebih lagi bersama Sembrong, merapatkan barisan UMNO Sembrong, memperkukuh UMNO Johor dan bersama pucuk pimpinan parti untuk memperkasakan perjuangan kita dalam parti keramat UMNO,” katanya.

Krisis dalaman UMNO memuncak selepas Pilihan Raya Umum ke‑15 apabila beberapa pemimpin kanan dikenakan tindakan disiplin termasuk penggantungan dan pemecatan.

Hishammuddin digantung keahlian selama enam tahun bermula 27 Jan 2023, begitu juga bekas Ketua Penerangan UMNO Datuk Shahril Sufian Hamdan yang menerima nasib serupa manakala bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar dipecat dalam tempoh sama.

Tindakan itu mencetuskan pelbagai reaksi di peringkat akar umbi termasuk UMNO Bahagian Sembrong yang sejak 2024 berulang kali membawa usul bagi menarik balik penggantungan Hishammuddin tanpa syarat.

Jumaat lepas, Ahmad Zahid berkata UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan