IPOH, 9 Mac (Bernama) -- Festival Filem Raintown 2026 kini membuka penyertaan bertemakan ‘Selepas Hujan’, yang dijadualkan berlangsung di Taiping, September ini.
Pengasas festival Jacky Yeap berkata penganjuran kali ketiga itu mengalu-alukan penyertaan filem pendek berdurasi kurang daripada 10 minit, terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan tarikh tutup penyertaan pada 14 Jun ini.
“Pertandingan Filem Raintown 2026 kini dibuka untuk penyertaan kepada mana-mana pencipta untuk berkongsi cerita mereka mengenai selepas hujan dalam pelbagai genre, 20 filem terpilih akan ditayangkan semasa festival.
“Pertandingan ini diteruskan kali ini berikutan kejayaan penganjuran tahun lepas, yang menarik lebih 100 pencipta dalam kalangan pelajar sekolah menengah, pelajar filem, pengarah baharu, pembuat filem berpengalaman serta pesara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jacky berkata filem terbaik akan menerima hadiah tunai RM8,000 dan hadiah sumbangan CK Music, GoPro, Logitech, N4 Camera Store Sdn Bhd, Ulanzi, dan Lumos.
Beliau berkata festival selama tiga hari itu juga akan menganjurkan sesi bicara dokumentari mengenai pemindahan SJK (C) Aik Hua, Terong yang dibiayai sepenuhnya kerajaan sepertimana diumumkan Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah, sebelum ini.
“Lawatan ke Bukit Larut juga akan disediakan bagi membolehkan penonton meneroka keunikan bandar Taiping ini di luar layar,” katanya.
Festival Filem Raintown yang diasaskan pada 2024 bertujuan mempromosi bandar Taiping serta menyediakan ruang untuk pembuat filem berinteraksi dengan penonton serta menggalakkan apresiasi filem dalam kalangan masyarakat.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut di Facebook rasmi Raintown Film Festival atau hubungi raintownfilmfestival@gmail.com
-- BERNAMA
