KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Syarikat pembetungan nasional Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menganjurkan majlis berbuka puasa yang menghimpunkan Sahabat Istimewa IWK, komuniti setempat serta peniaga kecil sebagai usaha menyemarakkan semangat perpaduan dan keprihatinan sempena Ramadan.
Majlis itu, yang dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof, adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat berkenaan melalui program Sahabat Istimewa IWK yang bertujuan mempromosikan penyertaan bermakna serta keterangkuman dalam masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK Narendran Maniam berkata inisiatif itu bukan sahaja membolehkan komuniti setempat berkongsi juadah berbuka puasa malah membantu meningkatkan sumber pendapatan peniaga kecil.
"Dalam ketidaktentuan geopolitik global, kami bersyukur kerana dapat berkongsi rezeki bersama rakan-rakan daripada kumpulan kurang upaya dan komuniti setempat.
“Kami berbesar hati dapat meraikan semangat ini bersama-sama Sahabat Istimewa kami dan komuniti di sekitar kawasan ini dengan berkongsi duit raya, juadah berbuka serta menyampaikan pek makanan dan juga dapat membantu para peniaga," katanya kepada pemberita selepas majlis itu di sini hari ini.
Terdahulu, Fadillah menceriakan golongan istimewa yang hadir dengan menyampaikan duit raya selain turut bersama dengan pengurusan IWK mengagihkan 500 pek juadah berbuka kepada komuniti setempat yang dibeli terus daripada peniaga di Karnival Ramadan IWK.
Beliau turut meluangkan masa menyantuni peniaga kecil di karnival itu yang berlangsung di IWK Eco Park untuk memberi sokongan kepada usahawan tempatan.
Antara tetamu yang hadir ialah wakil beberapa badan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Kebangsaan Bahasa Isyarat Malaysia dan Pengajian Pekak, Persatuan OKU Sentral, Persatuan Kebajikan Ahsana KL, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia dan Yayasan Chow Kit.
-- BERNAMA
