KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Pembukaan MADANI Mart yang dilancarkan pada Jumaat lepas bukan merupakan penjenamaan semula kepada Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) serta tidak melibatkan sebarang pemberian modal permulaan atau kos operasi daripada kerajaan.
Pengurus Yayasan MADANI (Operasi MADANI Mart) Lutfi Mohd Ariffin dalam kenyataan hari ini berkata MADANI Mart dipacu sepenuhnya melalui penyertaan usahawan berasaskan mekanisme pasaran dan pemilikan persendirian.
“MADANI Mart merupakan model perniagaan berasaskan kolaborasi public-private-social partnership (PPSP). MADANI Mart beroperasi melalui model pelesenan dengan Yayasan MADANI bertindak sebagai pemberi lesen kepada penjenamaan, konsep dan model perniagaan yang didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) tanpa melibatkan sebarang pengeluaran modal oleh yayasan.
“Setiap outlet dimiliki dan dikendalikan sepenuhnya oleh usahawan di bawah entiti perniagaan. Struktur ini memastikan bahawa setiap MADANI Mart adalah perniagaan milik usahawan tempatan, bukan milik kerajaan atau yayasan," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan dakwaan bahawa MADANI Mart dibiayai oleh kerajaan, dimiliki pihak tertentu atau mempunyai kepentingan tersembunyi adalah tidak berasas serta tidak disokong fakta pelaksanaan sebenar.
Lutfi berkata pengoperasian MADANI Mart dilaksanakan pengurusan profesional dengan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan MADANI berfungsi memastikan hala tuju, integriti serta pematuhan organisasi terpelihara.
“Ahli Lembaga bertindak sebagai pemegang amanah dan tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam operasi perniagaan MADANI Mart. Yayasan MADANI hanya memiliki hak terhadap penjenamaan hak cipta, konsep dan model perniagaan, manakala pemilikan outlet adalah sepenuhnya di tangan usahawan. Struktur ini memastikan tiada konflik kepentingan timbul,” katanya.
Beliau berkata MADANI Mart juga beroperasi dalam persekitaran persaingan terbuka tanpa sebarang monopoli dalam pelantikan pembekal atau pengusaha dengan pemilihan dibuat berdasarkan keupayaan komersial dan kecekapan operasi serta rantaian bekalan yang efektif dan efisien.
Pada masa sama, Lutfi berkata MADANI Mart sedang meneliti permohonan daripada perniagaan kedai runcit sedia ada untuk dinaik taraf serta menyertai rangkaian ini melalui proses ‘onboarding’ dan penyertaan terbuka kepada individu, perkongsian perniagaan serta entiti komuniti seperti koperasi.
“Yayasan MADANI mengalu-alukan penyertaan lebih ramai usahawan tempatan sebagai pemegang lesen dan pemilik perniagaan, selaras dengan usaha memperkasakan ekonomi rakyat dan memperluas akses kepada barangan keperluan pada harga berpatutan,” katanya.
Pada 3 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan kedai runcit MADANI Mart cawangan pertama di negara ini di Indera Mahkota 8 (IM8), Pahang, yang dilaksanakan sebagai inisiatif kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat.
MADANI Mart menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya 640 cawangan di seluruh Malaysia dengan matlamat memastikan setiap Dewan Undangan Negeri mempunyai sekurang-kurangnya satu cawangan.
-- BERNAMA
