KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Empire Premium Food Bhd mengumumkan tawaran runcit sebanyak 55 juta sahamnya bagi penyenaraian awal di Pasaran Utama Bursa Malaysia telah dilanggan 23.30 kali, dengan 35,577 permohonan bagi 1.33 bilion saham diterima daripada orang awam Malaysia.
Bagi bahagian Bumiputera, 11,549 permohonan diterima untuk 394.47 juta saham, mewakili kadar langganan 13.34 kali, manakala bahagian orang awam lain menerima 24,028 permohonan untuk 941.96 juta saham, iaitu 33.25 kali langganan, menurut makluman kepada Bursa Malaysia.
Syarikat F&B pemilik jenama Empire Sushi itu menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM152.6 juta melalui IPO, dengan harga institusi dan runcit ditetapkan pada 70 sen sesaham, menjelang penyenaraian pada 17 April 2026.
Daripada jumlah hasil IPO, RM79.1 juta (51.8 peratus) diperuntukkan bagi pengembangan 56 cawangan baharu konsep grab-and-go dan quick dine-in dalam tempoh tiga tahun.
Sementara itu, RM12.6 juta (8.3 peratus) diperuntukkan untuk naik taraf cawangan sedia ada, RM52.1 juta (34.1 peratus) bagi modal kerja, dan RM8.8 juta (5.8 peratus) untuk menampung kos dan yuran IPO.
-- BERNAMA
