AM

BERMULA DI BAWAH KANOPI, USAHAWAN SOTONG BAKAR KINI RAIH PENDAPATAN RM150,000 SEBULAN

10/04/2026 10:05 AM

KUANTAN, 9 April (Bernama) -- Bermula dengan hanya berniaga di bawah kanopi di tepi jalan, seorang usahawan tempatan kini mampu menarik nafas lega selepas hasil jualan perniagaan yang diusahakannya mencecah sehingga RM150,000 sebulan.

Pemilik Sotong Bakar Gergasi Maran Enterprise Muhammad Hafizudin Muhammad Sarudin, 36, berkata kejayaan itu tidak datang dengan mudah, sebaliknya menempuh perjalanan panjang selama 15 tahun yang penuh cabaran serta pengorbanan.

Perniagaan yang diusahakan bersama isteri itu juga terpilih dalam program Destinasi Makan-Makan Selamat Negeri Pahang anjuran Tourism Pahang dan menjadi antara lokasi wajib dikunjungi pelancong yang berkunjung ke Maran.

Anak jati Maran itu berkata pada peringkat awal, beliau sukar mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan bagi memulakan perniagaan, namun Agrobank menjadi pihak pertama yang memberi kepercayaan menerusi pembiayaan sebanyak RM5,000.

“Daripada jumlah kecil itu, saya bangunkan perniagaan sedikit demi sedikit sehingga hari ini jumlah pembiayaan yang saya terima hampir RM150,000. Kalau bukan kerana Agrobank, mungkin saya tidak berada pada tahap sekarang,” katanya selepas majlis aspirasi kecemerlangan Program Agrobank Upward Migration (AUM) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Muhammad Hafizudin terpilih sebagai penerima anugerah bagi kategori Penciptaan Pekerjaan.

Bapa kepada tiga anak itu berkata daripada hanya beroperasi secara kecil-kecilan, kedai makan itu kini mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 15 pekerja tetap serta antara 20 hingga 25 pekerja sambilan.

Muhammad Hafizudin ketika mengimbau detik sukar berkata pandemik COVID-19 dan bencana banjir antara ujian terbesar yang menyebabkan beliau mengalami kerugian hampir RM300,000 sehingga terpaksa menjual trak makanan miliknya.

“Ketika itu saya hilang segala-galanya, saya terpaksa jual trak makanan pertama saya dan terpaksa bermula semula dari bawah dengan berniaga di bawah kanopi. Dalam tempoh getir itu, Agrobank sekali lagi tampil membantu dengan pembiayaan tambahan RM20,000 selain sokongan moral dan kursus bimbingan berterusan,” katanya.

Muhammad Hafizudin ketika ditanya mengenai perancangan masa depan berkata beliau berhasrat untuk mengembangkan jenama Sotong Bakar Gergasi Maran ke pasaran Kuala Lumpur dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata pelaksanaan program AUM di Pahang melibatkan 23 usahawan tempatan dan mencatatkan pencapaian memberangsangkan.

Beliau berkata sebanyak 19 syarikat berjaya mencatatkan peningkatan hasil jualan dengan jumlah jualan terkumpul bagi 2025 merekodkan lebih RM10 juta, selain tujuh syarikat turut berjaya memperoleh pembiayaan tambahan berjumlah keseluruhan RM434,000.

“Dari segi pembangunan kapasiti, enam syarikat berjaya mengembangkan operasi perniagaan melalui penambahan aset baharu. Seiring dengan kemajuan ini, syarikat-syarikat terlibat turut melaksanakan pelaburan strategik dalam aset serta teknologi moden bagi meningkatkan kecekapan dan daya saing operasi,” katanya. 

Tengku Ahmad Badli Shah berkata sebanyak empat syarikat turut berjaya menjana peluang pekerjaan kepada 18 individu dalam komuniti setempat, sejajar dengan usaha memperkasa ekonomi inklusif. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan