AM

MALAYSIA GESA AS TIMBANG SEMULA TINDAKAN SEKAT SELAT HORMUZ - MOHAMAD HASAN

14/04/2026 04:18 PM

REMBAU, 14 April (Bernama) -- Malaysia menggesa Amerika Syarikat (AS) untuk mempertimbang semula tindakan mereka menyekat Selat Hormuz kerana ia berpotensi menjejaskan bekalan tenaga dan kestabilan ekonomi dunia.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tindakan tersebut boleh menghalang pergerakan kapal dagang dan kargo daripada memasuki atau keluar dari Selat Hormuz, sekali gus memberi kesan besar kepada bekalan tenaga global serta bahan penting termasuk baja urea.

Dalam masa sama Mohamad menjelaskan beliau tidak jelas tujuan sebenar AS berbuat demikian, lebih-lebih lagi apabila negara berkenaan sebelum ini menggesa kerjasama antarabangsa bagi memastikan laluan strategik tersebut kekal terbuka.

“Tujuannya saya tak tahu kerana sepatutnya Selat Hormuz ini tidak dikepung. Sebelum ini Iran telah bersetuju untuk membuka selat itu dengan syarat 10 perkara yang diajukan semasa rundingan di Islamabad  dipersetujui AS.

“(Sekat laluan) akan memburukkan lagi keadaan ekonomi, pertanian dan (bekalan) tenaga dunia akan menjadi lebih meruncing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Ekuiti Usahawan Bumiputera Peringkat Zon Selatan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Rembau, di sini, hari ini.

Justeru, beliau berkata AS perlu memikirkan semula tindakan tersebut dan membuka apa jua bentuk kepungan supaya laluan dagang boleh lalu di sana serta semua pihak perlu berunding semula, katanya.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu turut menyeru semua pihak, termasuk Iran supaya memastikan laluan perdagangan di selat berkenaan kekal dibuka semula demi kesejahteraan masyarakat antarabangsa dan tidak menjadikan dunia sebagai tebusan kepada konflik serta peperangan.

“Perang antara Amerika dan Iran atau Iran dan Israel, itu perang mereka, dunia tidak boleh dijadikan sebagai ransom (tebusan) untuk apa juga tujuan, begitu juga Amerika tak boleh membuat sedemikian, kerana dunia akan menghadapi masalah besar,” katanya.

 Presiden AS Donald Trump pada Ahad berkata tentera laut Amerika akan memulakan sekatan di Selat Hormuz serta-merta dan turut memintas setiap kapal di perairan antarabangsa yang telah membayar tol kepada Iran.

Trump membuat kenyataan itu menerusi hantaran di laman Truth Social beliau beberapa jam selepas rundingan damai AS-Iran berakhir tanpa mencapai sebarang kata sepakat.

Sementara itu, Mohamad memaklumkan telah meminta Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York untuk berunding dengan semua negara yang menggangotai pasukan pengaman di Lubnan supaya mempertimbang untuk memendekkan tempoh mandat pasukan pengaman tersebut.

Beliau berkata langkah itu wajar memandangkan situasi semasa di Lubnan yang kini berada dalam keadaan konflik, sekali gus menjadikan peranan pasukan pengaman kurang relevan berbanding ketika misi itu diwujudkan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan