AM

KERUGIAN AKIBAT BANJIR DI MALAYSIA BERKURANGAN KEPADA RM636.9 JUTA PADA 2025 -- DOSM

15/04/2026 03:22 PM

PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Malaysia merekodkan penurunan kerugian akibat banjir kepada RM636.9 juta pada 2025, berbanding RM933.4 juta pada 2024, bersamaan 0.03 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nominal, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata aset awam dan infrastruktur mencatatkan kerugian tertinggi, meningkat kepada RM380.2 juta (2024: RM303.4 juta). 

"Ini diikuti tempat kediaman yang menyusut kepada RM183.8 juta (2024: RM372.2 juta).

"Kerugian sektor pertanian juga menurun kepada RM52.6 juta (2024: RM185.2 juta), manakala premis perniagaan merekodkan kerugian sebanyak RM13.4 juta (2024: RM54.1 juta),” katanya dalam satu kenyataan susulan Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2025, yang dikeluarkan hari ini.

Mohd Uzir berkata kerosakan kenderaan berjumlah RM6.8 juta (2024: RM17.3 juta) manakala sektor pembuatan mencatatkan impak paling rendah iaitu RM0.1 juta (2024: RM1.2 juta).

"Bagi tempat kediaman, kerugian tertinggi adalah di Sarawak sebanyak RM32.6 juta, diikuti Sabah RM27.7 juta dan Johor  RM26.2 juta.

"Manakala kerugian bagi premis perniagaan lebih tinggi di Sarawak iaitu sebanyak RM2.7 juta, diikuti Johor (RM2.1 juta) dan Sabah (RM1.8 juta),” katanya.

Sementara itu berdasarkan kajian kes oleh DOSM, lebih daripada 51.2 peratus mangsa banjir telah mengambil inisiatif proaktif dengan menyimpan stok keperluan harian bagi memastikan kelangsungan hidup mereka dalam situasi kecemasan.

"Selain itu, sebanyak 5.5 peratus daripada mangsa telah mencarum insurans sebagai langkah perlindungan kewangan untuk menghadapi kemungkinan kerosakan atau kerugian. Bagaimanapun, terdapat 22.5 peratus mangsa yang tidak membuat sebarang persediaan awal, yang berpotensi meningkatkan risiko kesukaran semasa dan selepas insiden banjir,” katanya.

Mohd Uzir berkata kajian itu juga mendapati kerosakan pada perabot menyumbang sebanyak 42.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kerosakan yang ditanggung.

"Barangan isi rumah lain mewakili 29.4 peratus daripada kerosakan yang dicatatkan, manakala peralatan elektrik seperti mesin basuh, peti ais, dan televisyen pula menyumbang sebanyak 27.8 peratus," katanya.

Secara keseluruhannya, beliau berkata, dapatan laporan itu menekankan tentang kepentingan memperkukuh kesiapsiagaan, meningkatkan perlindungan kewangan, serta membina daya tahan isi rumah bagi mengurangkan impak kejadian banjir pada masa hadapan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan