SEREMBAN, 15 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan optimis mengangkat sektor pelancongan pendidikan atau edutourism sebagai pemacu baharu ekonomi dan identiti negeri selaras dengan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Negeri Sembilan tidak harus dikenali semata-mata kerana keindahan pantai Port Dickson atau populariti masakan tradisinya, sebaliknya perlu berani melonjak sebagai hab intelektual perundangan syariah dan Adat Perpatih yang disegani di peringkat global.
Beliau berkata negeri itu mempunyai keunikan tersendiri melalui amalan Adat Perpatih yang dilaksanakan secara harmoni dengan perundangan syariah dalam kehidupan masyarakat.
“Kami mahu negeri ini menjadi destinasi rujukan utama kepada cendekiawan, pelajar dan pengkaji dari dalam dan luar negara. Bayangkan negeri ini sebagai ‘makmal hidup’, iaitu tempat adat dan syariah bukan sekadar dibincangkan tetapi diamalkan secara menyeluruh dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Kehakiman dan Perundangan Syariah Kebangsaan (KOPKES) 2026 “Mengenali Adat Perpatih: Keistimewaan Kedudukan Wanita Dalam Pemilikan Harta”.
Beliau berkata kekuatan itu menjadi kelebihan negeri berkenaan dan berpotensi besar dipacu sebagai produk pelancongan berasaskan ilmu.
Dalam pada itu, penganjuran konvensyen dan program ilmiah dilihat mampu memperkukuh kedudukan Negeri Sembilan sebagai pusat rujukan intelektual yang berakar pada tradisi namun bergerak seiring dengan arus kemodenan.
Beliau berkata sebagai langkah memperkukuh aspirasi itu, kerajaan negeri turut menyambut baik penerbitan Jurnal Al-Taqrir hasil kerjasama strategik antara Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan dan Universiti Sains Islam Malaysia.
“Inisiatif ini adalah langkah progresif dalam mendokumentasikan khazanah perundangan dan penghakiman Syariah untuk rujukan dunia akademik,” katanya.
Beliau berkata penerbitan jurnal itu membuktikan negeri berkenaan bukan sahaja kaya dengan tradisi malah berupaya menyumbang kepada perkembangan ilmu melalui pendekatan ijtihad kontemporari.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata pemilihan tema konvensyen, iaitu Mengenali Adat Perpatih: Keistimewaan Kedudukan Wanita Dalam Pemilikan Harta adalah signifikan dan bertepatan dengan keperluan semasa.
Beliau berkata topik itu bukan sahaja membuka ruang wacana ilmiah malah memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap sistem sosial Adat Perpatih yang unik dan istimewa di negeri berkenaan.
“Dalam konteks pemilikan harta, Adat Perpatih meletakkan wanita sebagai pemegang amanah terhadap harta pusaka. Ini bukan sekadar satu keistimewaan tetapi satu tanggungjawab besar dalam memastikan kelangsungan institusi keluarga dan kestabilan sosial masyarakat.
“Wanita dalam adat ini bukan hanya dilindungi tetapi dimartabatkan sebagai tiang seri yang menjaga kesinambungan warisan,” katanya.
Aminuddin berkata dari sudut hukum syarak pula, Adat Perpatih tidak pernah bersaing dengan Syariat Islam, sebaliknya saling melengkapi dalam semangat yang luhur.
Beliau berkata prinsip ini menjadi asas keharmonian antara adat dan agama yang telah sekian lama menjadi kekuatan Negeri Sembilan.
-- BERNAMA
