KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Datuk Ahmad Azam Ab Rahman dilantik sebagai Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) baharu berkuat kuasa 21 April hingga 31 Dis 2028.
PPZ-MAIWP dalam kenyataan hari ini memaklumkan Ahmad Azam mengisi kekosongan jawatan itu selepas Datuk Seri Amrin Awaluddin menamatkan perkhidmatan pada 14 Feb.
“Pelantikan beliau langkah strategik dalam memastikan kesinambungan kepimpinan PPZ-MAIWP, khususnya dalam memperkasakan fungsi kutipan zakat dan wakaf secara lebih tersusun dan inovatif demi kesejahteraan ummah,” menurut kenyataan itu.
PPZ-MAIWP memaklumkan Ahmad Azam, 66, tokoh yang tidak asing dalam aktiviti kemanusiaan, diplomasi antarabangsa dan pembangunan masyarakat.
Beliau memegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Indiana State University dan Ijazah Sarjana Pentabdiran Perniagaan Stephen F. Austin State University, Amerika Syarikat.
Ahmad Azam pernah berkhidmat di beberapa organisasi termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), Institut Kajian Dasar dan sebagai tenaga pengajar di Institut Pengajian Ilmu-Ilmu Islam.
Antara kerjaya dan sumbangan utama beliau ialah Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) serta Pengasas Global Peace Mission (GPM) Malaysia yang telah mengetuai misi di lebih 30 negara konflik dan bencana.
“Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya OIC Independent Permanent Human Rights Commission (2019-2025) dan kini Ahli Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM),” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
