NIBONG TEBAL, 10 Mei (Bernama) -- Seramai 73 pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Maahadul Islami Tasek Junjong, Simpang Ampat, di sini, terjejas selepas kawasan sekolah berkenaan dinaiki air susulan hujan lebat, lewat petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 7.48 malam.
Beliau berkata kejadian berpunca daripada hujan lebat yang menyebabkan paras sungai meningkat sehingga mengakibatkan banjir kilat di kawasan sekolah berkenaan dengan paras air dianggarkan setinggi 0.3 meter.
“Keadaan didapati terkawal dan air surut sepenuhnya pada 9.30 malam,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
John berkata semua pelajar terbabit terdiri daripada 39 perempuan dan 34 lelaki yang menetap di asrama sekolah serta berada dalam keadaan selamat.
Katanya pihak sekolah turut menghubungi keluarga masing-masing bagi membolehkan pelajar berkenaan dibawa pulang.
-- BERNAMA
