KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Malaysia dan China akan memperkukuh kerjasama untuk membangunkan bersama industri masa hadapan, dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi barisan hadapan kesediaan Malaysia untuk ekonomi masa hadapan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kedua-dua negara perlu melangkaui perdagangan tradisional, mengenal pasti mobiliti elektrik, teknologi bateri, tenaga boleh baharu, pembuatan pintar, sistem digital dan pembangunan bakat sebagai bidang utama kerjasama.
"Malaysia mempunyai kedudukan geografi strategik, asas perindustrian yang semakin berkembang dan tenaga kerja muda yang boleh dilatih. China pula mempunyai kekuatan teknologi, skala industri dan kepimpinan yang terbukti dalam industri tenaga baharu.
"Bersama-sama, kita boleh membina lebih sekadar kejayaan dua hala. Kita dapat memperkukuh rantaian nilai serantau, menyokong transformasi industri ASEAN dan mewujudkan kerjasama yang baik bukan sahaja untuk Malaysia dan China, tetapi juga untuk masa hadapan yang bermakna di rantau ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Malaysia–China mengenai Kenderaan Elektrik (EV), Bateri serta Pembangunan dan Inovasi Bakat Tenaga Baharu (MCEF 2026) di Asia School of Business di sini, hari ini.
Beliau berkata peralihan kepada EV, bateri dan tenaga baharu telah mewujudkan ekosistem industri baharu yang disifatkannya sebagai antara revolusi perindustrian paling penting dalam era moden.
Ahmad Zahid berkata penjualan EV mencecah 21 juta unit pada 2025 sahaja, bersamaan dengan satu daripada setiap empat kenderaan baharu yang dijual di seluruh dunia, dengan China terus menerajui peralihan itu.
Di ASEAN-6 (Indonesia, Malaysia, Thailand, Filipina, Vietnam dan Singapura), penjualan kenderaan elektrik meningkat sebanyak 62 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lepas.
"Peralihan ini tidak terhad kepada kenderaan sahaja, tetapi turut melibatkan bateri, infrastruktur pengecasan, semikonduktor, sistem perisian, penyimpanan tenaga, kesediaan grid dan pembuatan maju," katanya.
Susulan perkembangan ini, Ahmad Zahid berkata Malaysia telah membuat keputusan jelas untuk tidak sekadar menjadi pengguna pasif, sebaliknya menjadi peserta aktif dalam ekosistem EV dan ekosistem tenaga bersih serantau.
Bagi menyokong hasrat ini, beliau berkata Malaysia telah meletakkan TVET sebagai barisan hadapan kesediaan untuk ekonomi masa hadapan dengan melahirkan tenaga mahir termasuk jurutera, pereka sistem, pakar teknikal dan bakat perisian untuk memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
"Kebolehpasaran siswazah TVET nasional mencecah 95.9 peratus pada 2025, meningkat daripada 95.6 peratus pada tahun sebelumnya. Perkara ini bukan pencapaian kecil, tetapi bukti bahawa apabila latihan diselaraskan dengan industri, golongan muda kita menjadi sangat relevan kepada ekonomi," katanya.
Ketika Malaysia memperkukuh TVET untuk menyokong industri pembuatan maju, ekonomi digital, teknologi hijau dan peralihan tenaga, Ahmad Zahid berkata kerajaan juga menyasarkan pewujudan 700,000 pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan dan 500,000 pekerjaan dalam ekonomi digital.
Sementara itu, bercakap pada sidang media selepas itu, Ahmad Zahid berkata Malaysia dan China telah menubuhkan Malaysia-China Institute (MCI), yang akan memberikan tumpuan khusus kepada TVET berteknologi tinggi dan teknologi maju.
Institut berkenaan, katanya, akan dimodelkan berdasarkan institusi seperti German-Malaysian Institute (GMI) dan Malaysia-Japan Industrial Institute (MJII), namun dengan fokus khusus kepada teknologi masa hadapan yang berkait dengan kekuatan industri China.
"Kita menjangkakan kampus yang lebih besar akan dibina melebihi kemudahan sedia ada," katanya dan menambah bahawa kos keseluruhan pembangunan itu boleh mencecah lebih RM500 juta apabila siap sepenuhnya.
-- BERNAMA
