SUKAN

TERBUKA THAILAND: GANDINGAN BAHARU BEREGU LELAKI LEPASI UJIAN PERTAMA

13/05/2026 12:04 AM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 12 Mei (Bernama) -- Dua gandingan baharu beregu lelaki negara, Mohd Haikal Nazri-Bryan Jeremy Goonting dan pasangan profesional, Chia Wei Jie-Teo Ee Yi memulakan aksi mereka dengan langkah kanan selepas mara ke pusingan kedua Terbuka Thailand 2026 di Stadium Nimibutr, di sini.

Haikal-Bryan menewaskan pasangan nombor 62 dunia dari Hong Kong, Hung Kuei Chun-Lui Chun Wai, 22-20, 21-13, manakala Chia-Teo mengejutkan pilihan kelapan dari Indonesia, Mohammad Rian Ardianto-Rahmat Hidayat, 20-22, 21-19, 21-11.

Haikal-Bryan akan berdepan pilihan utama yang juga nombor empat dunia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India, yang terdahulu mengalahkan pasangan Indonesia, Muh Putra Erwiansyah-Bagas Maulana, 21-19, 21-23, 21-10.

Teo, pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021, berkata kemenangan itu merupakan langkah pertama yang sangat penting buat gandingan baharu mereka untuk meningkatkan keyakinan menjelang perlawanan seterusnya.

“Sebagai pasangan baharu di gelanggang, kami gembira dengan kemenangan hari ini tetapi masih banyak yang perlu dipelajari, terutama dari segi pergerakan dan persefahaman,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan hari ini.

Chia pula berkata walaupun masih banyak yang perlu dia diperbaiki, keputusan bergandingan dengan Teo tidak menjadi satu tekanan kepadanya, malah menjadi pendorong untuk terus meningkatkan prestasi. 

“Saya tidak tahu sejauh mana kami boleh pergi tetapi kami akan bekerja keras dan melangkah sejauh mungkin untuk mencapai kejayaan,” katanya.

Chia-Teo akan bertemu sama ada pasangan Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley atau pasangan Vietnam, Nguyen Dinh Hoang-Tran Dinh Manh, yang akan beraksi esok.

Satu lagi beregu lelaki negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong turut mara ke pusingan kedua selepas menundukkan pasangan Scotland, Alexander Dunn-Adam Pringle, 21-11, 21-15.

Pada pusingan kedua esok, Mohd Azriyn-Tan akan menentang gandingan tuan rumah Peeratchai Sukphun-Pakkapon Teeraratsakul, yang sebelum itu menewaskan Julien Maio-William Villeger dari Perancis, 22-20, 21-16.

Walau bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi satu lagi beregu profesional, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong, yang tewas 9-21, 14-21 kepada pasangan nombor 33 dunia, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi dari China.

Terdahulu, perseorangan profesional lelaki negara, Lee Zii Jia melepasi saingan pusingan kelayakan selepas menewaskan Liao Jhuo-Fu dari Taiwan 21-16, 21-13.

Zii Jia akan menentang pemain Israel, Daniil Dubovenko, esok bagi merebut tempat ke pusingan kedua.

Namun, dua pasangan beregu wanita Malaysia, Ong Xin Yee-Carmen Ting dan Chong Jie Yu-Vanessa Ng, tersingkir pada aksi pembukaan.

Ong-Carmen, pasangan nombor 20 dunia, tewas kepada gandingan Indonesia, Isyana Syahira Meida-Rinjani Kwinara Nastine, 21-16, 14-21, 14-21 dalam aksi yang berlarutan lebih sejam, manakala Chong-Vanessa kalah 16-21, 17-21 kepada beregu Jepun, Hinata Suzuki-Nao Yamakita.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan