KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Sektor hartanah perlu menyokong matlamat ekonomi dan pembinaan negara secara keseluruhan, bukan hanya menumpukan kepada pembangunan perumahan yang didorong keuntungan semata-mata, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong.
Beliau berkata sektor itu perlu melaksanakan peranan ke arah mengatasi cabaran nasional yang lebih besar, termasuk kemampuan memiliki rumah, rebakan bandar, pengekalan bakat tempatan dan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.
“(Kalangan pemaju) hartanah tidak seharusnya melihat sektor itu sebagai bahagian paling penting dalam ekonomi sebaliknya, sebagai memenuhi tujuan awam yang lebih luas dalam ekonomi dan proses pembinaan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Penyelidikan Hartanah Antarabangsa (IRERS) 2026 di sini, Selasa.
Beliau berkata Malaysia perlu membina semula sistem metropolitannya susulan perubahan global besar-besaran yang belum pernah dialami dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk krisis bekalan yang masih berterusan.
“Walaupun jika peperangan berakhir esok, kesannya akan berlarutan lebih lama daripada yang kita jangkakan. Oleh itu, kita perlu menangani isu kerentanan nasional yang sedang kita hadapi,” katanya.
Liew berkata lebih banyak perumahan perlu dibangunkan di kawasan tengah bandar melalui model pemilikan, sewaan atau hibrid untuk menggalakkan lebih ramai orang tinggal di kawasan tersebut dan membantu menjadikannya bandar aktif 24 jam sehari.
“Perkara yang saya sebutkan ini tidak akan berlaku dalam sekelip mata kerana yang kita lihat hari ini adalah hasil daripada 50 tahun pendekatan pembangunan perumahan dan peluasan bandar, justeru mungkin mengambil masa 10 hingga 15 tahun untuk menterbalikkan trend ini,” katanya.
Beliau berkata Malaysia perlu mewujudkan persekitaran yang kurang bergantung kepada kenderaan persendirian sebaliknya lebih bergantung kepada pengangkutan awam, dan menumpukan kepada kehidupan berhampiran tempat kerja serta kawasan tengah bandar berbanding terus mengembangkan rebakan bandar.
Mengulas mengenai peranan sektor hartanah, beliau yang menjadikan Pulau Pinang sebagai contoh berkata pemaju tidak perlu hanya menumpukan kepada pembinaan rumah untuk pembeli asing, sebaliknya turut menyokong industri semikonduktor bagi mengukuhkan ekonomi negara.
“Antara caranya ialah dengan menambah stok perumahan supaya jurutera muda dapat tinggal dengan selesa, sama ada melalui pemilikan, sewaan atau perumahan yang disediakan syarikat.
“Perumahan boleh membantu mengekalkan lebih ramai rakyat Malaysia, khususnya jurutera muda tempatan, untuk terus bekerja dalam industri semikonduktor Malaysia,” katanya.
Liew berkata Malaysia perlu meneroka model baharu, termasuk menukar bangunan pejabat kosong di Kuala Lumpur menjadi perumahan seperti yang dilaksanakan di Eropah dan Amerika Syarikat.
“Kita bukan hanya bercakap mengenai perumahan untuk golongan miskin. Kita juga bercakap mengenai perumahan untuk golongan muda dan kelas pertengahan,” katanya.
Beliau yang turut mengingatkan mengenai risiko gelembung hartanah berkata andaian bahawa harga hartanah akan terus meningkat boleh membawa kesan buruk.
Beliau berkata sebagai contoh isu gelembung hartanah Jepun pada 1990 dan 1991 yang kesannya berlarutan selama beberapa dekad, selain Krisis Kewangan Global 2008 yang bermula sebagai krisis subprima berkaitan hartanah telah memberi kesan besar di peringkat global.
“Berdasarkan pengalaman kita sendiri, Krisis Kewangan Asia 1997 masih memberi kesan malah sehingga hari ini. Oleh itu, kita perlu sangat berhati-hati dalam menguruskan sektor ini,” katanya.
-- BERNAMA
