DUNGUN, 12 Mei (Bernama) -- Penternak lembu di Terengganu terpaksa mengimport lembu dari Thailand bagi menampung permintaan tinggi pasaran bersempena dengan sambutan Aidiladha tahun ini.
Seorang penternak, Mohd Rasol Ismail, 36, berkata proses membawa masuk lembu import itu dilakukannya secara berperingkat sejak awal tahun susulan bekalan lembu tempatan tidak mencukupi.
"Pada tahun ini, saya menerima tempahan 180 ekor lembu untuk ibadat korban. Pelanggan saya terdiri daripada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masjid, surau serta individu di negeri ini.
"Saya terpaksa mengimport lembu dari Thailand kerana lembu yang saya ternak tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan," katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Padang Pulut di sini, hari ini.
Mohd Rasol berkata lembu import itu turut menjalani pemeriksaan rapi daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi memastikan haiwan berkenaan bebas penyakit dan memenuhi piawaian ditetapkan sebelum dipasarkan.
Katanya, lembu itu dibawa masuk sekurang-kurangnya empat bulan lebih awal, yang diternak di dalam kandang bagi memastikan haiwan berkenaan sihat dan mempunyai berat mencukupi sebelum dijual.
“Lembu import ini daripada baka berkualiti dan mendapat permintaan tinggi di pasaran seperti KK Cross, Brahman dan Charolais,” katanya yang mula menceburi bidang penternakan lembu ketika pandemik COVID-19 pada 2020.
Mohd Rasol berkata kos pengangkutan lembu import dari pintu sempadan negara turut meningkat tahun ini kepada RM350 seekor berbanding RM220 seekor tahun lepas berikutan kenaikan harga operasi dan logistik.
Namun, dia masih mengekalkan harga jualan lembu seperti tahun lepas antara RM4,500 hingga RM6,000 seekor bergantung pada saiz dan baka haiwan tersebut.
Seorang lagi penternak Mohd Azuha Abd Rahman, 49, dari Kampung Nyior, Paka, di sini berkata dia turut mengimport lembu dari Thailand selepas menerima tempahan 300 ekor lembu untuk ibadat korban tahun ini.
“Saya hanya mampu menternak 45 ekor lembu, tetapi setiap tahun saya menerima tempahan lembu korban yang tinggi termasuk daripada pelanggan di Pahang dan Kedah,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Shahrin Che Muhammad, 39, yang hanya menjual lembu menjelang Aidiladha berkata dia mengambil sebanyak 40 ekor lembu daripada pembekal di Thailand selepas mendapat tempahan daripada pelanggan di Terengganu.
-- BERNAMA
