KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan bantuan dan kotak makanan kepada seorang pesakit buah pinggang kronik, Anuar Hassan, di Balok Baru, Kuantan, Pahang.
Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi ketika mengadakan Program Ziarah MADANI Indera Mahkota.
Menerusi hantaran di Facebook yang turut dikongsikan Perdana Menteri, Ahmad Farhan berkata sumbangan itu bagi membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga Anuar.
Selain menghidap penyakit buah pinggang kronik, beliau memaklumkan Anuar yang tinggal bersama dengan isteri dan anak-anaknya itu, turut bergantung pada mesin alat bantuan pernafasan untuk meneruskan kehidupan seharian.
"Saya amat tersentuh melihat ketabahan beliau dan keluarga dalam menghadapi ujian yang berat ini," katanya menerusi hantaran itu, hari ini.
Ahmad Farhan juga menitipkan doa agar Anuar terus diberi kekuatan, dipermudah segala urusan serta dikurniakan kesembuhan yang baik oleh Allah SWT.
"Semoga semangat dan ketabahan keluarga ini menjadi inspirasi kepada kita semua agar sentiasa saling membantu dan mengambil berat antara satu sama lain,” katanya.
-- BERNAMA
