PUTRAJAYA, 12 Mei (Bernama) -- Selepas lebih empat dekad menabur bakti, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki hari ini menamatkan perkhidmatan dengan meninggalkan legasi reformasi dan pemerkasaan institusi yang menjadi tunjang utama pembanterasan rasuah negara.
Majlis Penghargaan Khas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu yang diadakan di Ibu Pejabat SPRM di sini, dihadiri lebih 1,000 pegawai kanan SPRM sebagai simbolik persaraan buat beliau.
Sepanjang tempoh 42 tahun perkhidmatannya, Azam telah menggalas pelbagai jawatan penting dalam SPRM termasuk sebagai Pengarah Bahagian Perisikan, Pengarah Bahagian Siasatan serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) sebelum dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada Mac 2020.
Sepanjang kepimpinan beliau, SPRM telah melalui transformasi ketara dengan penekanan kepada pendekatan siasatan berasaskan risikan, penggunaan teknologi serta tumpuan kepada kes rasuah berimpak dan ketirisan dana awam.
Azam juga bertanggungjawab memperkasa dan memperkemas tindakan operasi dan penguatkuasaan SPRM dengan penubuhan Skuad Taktikal Antirasuah (ACTS) pada 5 Oktober 2023 bagi memperkukuh keupayaan operasi berisiko tinggi serta meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan.
Selain itu, beliau juga turut memperkasakan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu dengan agensi lain menggunakan pendekatan Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) yang melibatkan kerjasama strategik antara agensi bagi membanteras jenayah melibatkan penyeludupan, pengubahan wang haram serta ketirisan hasil negara termasuk pelaksanaan operasi berskala besar seperti Op Metal, Op Nature dan Op Karen.
Sepanjang tempoh memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam juga memberi tumpuan kepada pemulihan aset negara dengan kejayaan pemulihan aset bernilai kira-kira RM15.5 bilion antara 2021 hingga awal 2026 dengan sebahagian besar daripadanya melibatkan dana berkaitan 1MDB.
Di samping itu, beliau turut memberi hala tuju baharu SPRM dengan menyasarkan pembanterasan sindiket jenayah terancang serta kes berprofil tinggi yang melibatkan ketirisan dana awam dan penyalahgunaan kuasa.
Sementara itu, Azam dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga SPRM atas komitmen, kerjasama dan sokongan berterusan sepanjang tempoh beliau berkhidmat di suruhanjaya itu.
“SPRM mempunyai barisan pelapis yang berwibawa, berintegriti dan bersemangat tinggi untuk meneruskan legasi perjuangan ini.
“Dengan semangat baharu, idea segar dan iltizam yang kuat, saya percaya generasi seterusnya mampu membawa SPRM ke tahap yang lebih cemerlang dan dihormati, selaras dengan tuntutan semasa dan cabaran masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan untuk SPRM terus kekal relevan melalui pendekatan lebih berani dan radikal dalam membanteras rasuah, termasuk memperluas penggunaan teknologi dan kecerdasan buatan (AI).
Pada 25 April lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah memperkenan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu, berkuat kuasa 13 Mei.
-- BERNAMA
