KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Kemenangan dan pelantikan ikon perfileman India Selatan Vijay sebagai Ketua Menteri Tamil Nadu adalah simbol kebangkitan perjuangan rakyat serta bukti bahawa ketabahan dan keberanian mempertahankan prinsip yang akhirnya meraih mandat besar daripada masyarakat.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R.Ramanan berkata perjalanan politik Vijay turut mengingatkan beliau kepada perjuangan panjang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang berdepan pelbagai cabaran dan tekanan politik sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 Malaysia.
“Kedua-dua tokoh ini membuktikan bahawa perjuangan sebenar lahir daripada keikhlasan, pengorbanan dan keberanian mempertahankan suara rakyat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kebangkitan Vijay daripada dunia seni ke pentas kepimpinan tertinggi Tamil Nadu juga mencerminkan keyakinan rakyat terhadap sosok pemimpin yang dekat dengan masyarakat dan memahami aspirasi golongan akar umbi.
Menurut Ramanan, kemenangan itu membuka lembaran baharu buat Tamil Nadu dalam memperkukuh agenda pembangunan, perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
“Saya percaya di bawah kepimpinan Vijay, Tamil Nadu akan terus berkembang sebagai sebuah negeri yang progresif, inklusif dan berpaksikan kepentingan rakyat.
“Malah, saya berharap hubungan serta kerjasama antara Malaysia dan Tamil Nadu akan dapat diperkukuh dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, pembangunan modal insan dan kebudayaan memandangkan kedua-dua pihak berkongsi hubungan sejarah dan budaya yang sangat lama serta erat,” kataya.
Beliau juga berkata hubungan persaudaraan yang terjalin sejak sekian lama antara masyarakat Malaysia dan rakyat Tamil Nadu adalah kekuatan penting yang perlu terus dipelihara demi manfaat generasi akan datang.
Vijay, atau nama sebenarnya Chandrasekaran Joseph Vijay, 52, yang beralih daripada kerjaya lakonan prolifik kepada politik sepenuh masa dan memimpin parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK), meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri sekali gus mengikuti jejak beberapa tokoh legenda filem dalam sejarah politik Tamil Nadu.
-- BERNAMA
