JOHOR BAHRU, 13 Mei (Bernama) -- Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 103,560 liter diesel bersubsidi yang dipercayai disimpan tanpa permit bersama pelbagai peralatan bernilai keseluruhan RM1.327 juta menerusi Ops Taring Landai di dua premis bersebelahan di Ulu Tiram, semalam.
Komander PPM Wilayah Dua, Noor Azman Jamal berkata rampasan dilakukan hasil maklumat awam sebelum sepasukan Unit Risik Marin menjalankan pemeriksaan di premis terbabit kira-kira 12.30 tengah hari.
Beliau berkata pemeriksaan di premis pertama membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun yang dipercayai penjaga premis, selain menemukan sejumlah diesel dalam tangki besi dan tangki lori.
“Pemeriksaan di premis kedua pula mendapati seorang lelaki tempatan berusia 72 tahun dipercayai pemilik premis serta menemukan sebuah ‘skid tank’. Kedua-dua suspek gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan pemilikan bahan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, semua diesel dan peralatan berkaitan dirampas sebelum kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk tindakan lanjut.
Katanya suspek disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki atau menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran atau lesen sah.
-- BERNAMA
