AM

MALAYSIA CCOE MANFAATKAN HAMPIR 10,000 PENJAWAT AWAM, PROFESIONAL ICT- PM ANWAR

22/05/2026 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Malaysia CyberSecurity Centre of Excellence (CCoE) di Cyberjaya telah memberi manfaat kepada hampir 10,000 penjawat awam serta profesional ICT (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) menerusi pelbagai kursus dan persijilan keselamatan siber sejak penubuhannya pada 2024, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata inisiatif itu membantu memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ancaman siber dan cabaran pasca kuantum yang semakin kompleks.

Anwar berkata beliau hari ini menerima kunjungan hormat delegasi BlackBerry Limited diketuai Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Presidennya, John Giamatteo, bersama pimpinan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Ini bagi membincangkan usaha memperkukuh kompetensi tempatan dalam bidang keselamatan siber dan teknologi masa hadapan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut dimaklumkan mengenai kerjasama strategik melibatkan program Smart Campus, pembangunan teknologi BlackBerry QNX bagi sektor kenderaan elektrik, semikonduktor dan automasi industri, selain inovasi alat dialisis mudah alih PeritoCare hasil kepakaran anak tempatan.

“Semoga sinergi kerajaan, industri dan akademia terus diperkasa demi mengangkat inovasi serta teknologi ciptaan anak Malaysia ke persada dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan