AM

GOLONGAN BELIA SEMAKIN BIJAK NILAI KEBERKESANAN KERAJAAN BERDASARKAN PRESTASI

23/05/2026 03:10 PM

KANGAR, 23 Mei (Bernama) -- Golongan belia di negara ini dilihat semakin matang dan bijak menilai keberkesanan sesebuah kerajaan berdasarkan prestasi pentadbiran serta pencapaian semasa negara, kata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Dr Mohammed Taufiq berkata penerimaan golongan belia termasuk di luar bandar terhadap Kerajaan Perpaduan ketika ini dilihat positif, semakin peka terhadap isu semasa dan pembangunan negara.

Beliau berkata anak muda juga tidak lagi hanya melihat berdasarkan retorik politik semata-mata sebaliknya lebih menilai pencapaian kerajaan dalam aspek ekonomi, peluang pekerjaan dan kestabilan negara.

“Yang penting sekarang adalah kita ingin memastikan bentuk kepimpinan yang kerajaan tunjuk ialah kepimpinan berprestasi. Kita mahu menonjolkan prestasi yang dilaksanakan bukan sahaja dalam negara tetapi juga di peringkat ASEAN dan dunia.

“Walaupun dunia ketika ini berdepan krisis global yang mencabar, Malaysia masih mampu mengekalkan kadar pengangguran dan inflasi yang rendah selain menyediakan peluang pekerjaan yang baik kepada golongan muda,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Festival Belia @ Hari Belia Negara peringkat negeri Perlis 2026 di Dataran Lok 9, Kuala Perlis, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq berkata kepimpinan negara memerlukan gabungan antara pengalaman pemimpin veteran dan idea segar pemimpin muda bagi memastikan pembangunan negara dapat diperkukuh secara menyeluruh.

Beliau berkata pemimpin muda bukan sekadar diukur berdasarkan usia semata-mata tetapi perlu mempunyai prinsip, idealisme dan kualiti kepimpinan yang mampu memberi manfaat kepada rakyat.

“Kita mahu melihat lebih ramai pemimpin muda yang berani bercakap soal rakyat dan tampil ke hadapan untuk membangunkan negara,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan