AM

PM ANWAR UCAP TAHNIAH PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN PASUKAN PUSAT JANTUNG HSIS

23/05/2026 01:45 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada seluruh warga Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang, khususnya pasukan Pusat Jantung atas pencapaian membanggakan hospital itu dalam memberikan rawatan berkualiti tinggi kepada rakyat.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, beliau berkata keupayaan menguruskan sekitar 60 pesakit jantung dalam sehari termasuk kes kritikal membuktikan tahap kepakaran dan kecekapan bertaraf dunia serta kesiapsiagaan tinggi petugas kesihatan negara.

“Saya menghargai komitmen tinggi pasukan yang meletakkan nilai besar pada setiap nyawa, serta dedikasi tanpa henti seluruh Jabatan Kardiologi dalam memastikan pesakit menerima rawatan terbaik pada saat paling genting.

“Terima kasih kepada semua doktor, jururawat, dan kakitangan atas jasa dan pengorbanan kalian. Teruskan kecemerlangan ini,” kata beliau.

Pada 8 Mei 2023, Hospital Serdang dijenamakan semula sebagai HSIS.

Semalam, HSIS memaklumkan kejayaan ditempa Pusat Jantung itu seiring dengan pengiktirafan HSIS sebagai Pusat Kecemerlangan (COE) bagi Kardiologi oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Kejayaan itu sekali gus membuktikan kapasiti tinggi dan keupayaan luar biasa pusat tersebut dalam menyediakan rawatan jantung berimpak tinggi kepada pesakit.

“Sebagai antara pusat rawatan jantung berprestasi tinggi negara, HSIS terus mencatat angka signifikan apabila sepanjang 2025, pusat tersebut telah melaksanakan sebanyak 9,483 prosedur angiogram jantung dan 6,486 prosedur Percutaneous Coronary Intervention (PCI) atau pemasangan stent jantung dan angka yang menggambarkan beban kerja tinggi serta keyakinan pesakit terhadap perkhidmatan yang disediakan.

“Perkhidmatan kardiologi di HSIS dilaksanakan secara berterusan dengan kes elektif dijalankan setiap Isnin hingga Jumaat, manakala kes kecemasan khususnya serangan jantung akut dikendalikan 24 jam sehari, memastikan pesakit menerima rawatan kritikal tanpa mengira waktu,” menurut HSIS.

Operasi berintensiti tinggi itu melibatkan seramai 80 petugas kesihatan terdiri daripada 15 pakar kardiologi, enam pegawai perubatan, 11 juru X-ray, lapan penolong pegawai perubatan serta 40 jururawat dan pembantu perawatan kesihatan yang berganding bahu memastikan setiap prosedur berjalan lancar.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan