AM

PBAKL 2026: MEDAN ANAK MUDA MELABUR UNTUK ILMU

29/05/2026 03:10 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang membuka tirainya hari ini menjadi bukti bahawa budaya membaca dalam kalangan generasi muda Malaysia masih kekal subur meskipun dunia mereka kini dikelilingi gajet, media sosial dan pelbagai bentuk hiburan digital.

Tinjauan Bernama mendapati golongan remaja dilihat sanggup menabung serta berjimat semata-mata untuk mendapatkan bahan bacaan yang dianggap sebagai pelaburan ilmu dan masa depan.

Bagi pelajar aliran sejarah tingkatan enam, Nurul Jannah Norul Khan, 19, PBAKL menjadi destinasi wajib untuk memenuhi minat mendalamnya terhadap sejarah dan geopolitik.

Menggunakan wang simpanannya sendiri, beliau mencari naskhah berkaitan Perang Dingin, Tamadun Uthmaniyah serta geopolitik dunia Islam sebagai persediaan menghadapi semester baharu.

“Saya memang dah lama nak beli buku-buku ini sebagai persediaan menghadapi semester dua yang akan datang,” katanya  ketika ditemui Bernama, di sini, hari ini.

Walaupun mengakui masih dalam proses membina budaya membaca secara konsisten, Nurul Jannah percaya minat itu perlu dipupuk secara perlahan-lahan dengan memilih bahan bacaan yang sesuai dengan kecenderungan sendiri.

Sementara itu,  Asma Imani Mohd Faiz, 13, sanggup membelanjakan lebih RM200 hasil simpanan duit rayanya untuk membeli novel kegemaran di pesta buku berkenaan.

Remaja dari Gombak itu berkata minat membaca mula dipupuk sejak usia 10 tahun melalui komik sebelum beralih kepada novel romantik sebagai bahan bacaan untuk mengisi masa lapang.

“Saya minat membaca sejak umur 10 tahun. Bermula dengan komik dan kini saya lebih memilih novel genre romantik sebagai bahan bacaan untuk mengisi masa lapang,” katanya.

Kehangatan PBAKL 2026 turut dapat dilihat apabila pengunjung sanggup beratur panjang di beberapa reruai popular seawal dua jam sebelum kaunter dibuka bagi mendapatkan naskhah terbaharu seperti Kaisar II dan The Runner.

Bagi pelajar lepasan matrikulasi, Muhammad Amirul Haidar Mohd Aris, 19, pesta buku itu menjadi platform untuk mendapatkan bahan rujukan tambahan sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Beliau membelanjakan kira-kira RM150 termasuk membeli buku bertajuk Frontiers in Image Processing and Computer Vision sebagai persediaan awal dalam bidang sains komputer.

Sementara itu, bagi Wan Hasliani Wan Jaafar, 37, kunjungan ke PBAKL sudah menjadi rutin tahunan untuk menambah koleksi novel daripada penulis kegemarannya.

Lengkap membawa troli kosong bagi memudahkan urusan membeli buku, beliau mengakui pernah memborong sehingga 20 buah buku dalam satu kunjungan sebelum ini.

PBAKL 2026 yang berlangsung bermula hari ini menyediakan lebih 1,000 reruai bukan sahaja menjadi platform jualan buku, malah berperanan sebagai medium penyebaran ilmu, kreativiti dan inovasi dalam industri perbukuan serantau. 

Dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam, antara tarikan utama pesta buku edisi kali ini ialah Galeri Khas Buku Pilihan Pemimpin MADANI yang menampilkan koleksi buku rujukan serta pilihan bacaan tokoh-tokoh utama negara.

Selain itu, Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) menghimpunkan 24 penerbit universiti dengan lebih 5,000 judul buku ilmiah yang ditawarkan kepada pengunjung.

PBAKL 2026 turut mengukuhkan kedudukannya sebagai penanda aras industri buku di Asia Tenggara menerusi penganjuran Asian Rights Fair (ARF) yang berlangsung bermula hari ini hingga 31 Mei, dengan penyertaan 24 negara.

Turut menceriakan suasana ialah Festival Sastera Kanak-Kanak yang menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan mewarna, kelas melukis serta persembahan pakaian beragam, sekali gus menarik minat pengunjung daripada pelbagai peringkat usia.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan