JENAYAH & MAHKAMAH

DAKWAAN KAPAL TERBANG TERSADAI DI SUNGAI KANDIS PALSU - POLIS

08/06/2026 12:04 AM

SHAH ALAM, 7 Jun (Bernama) -- Dakwaan tular di media sosial mengenai sebuah kapal terbang yang dikatakan tersadai di kawasan Sungai Kandis, Seksyen 26, di sini, disahkan palsu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol berkata pihaknya menerima maklumat berhubung dakwaan itu pada 11.55 pagi tadi sebelum menjalankan usaha mengesan dan menjejaki pesawat berkenaan.

Beliau berkata pemeriksaan dilakukan di sekitar lokasi yang dinyatakan berdasarkan koordinat (3.0407719, 101.4824838) seperti dipaparkan dalam hantaran yang tular di Facebook.

"Hasil pencarian mendapati tiada sebarang pesawat tersadai di lokasi berkenaan seperti yang didakwa oleh pemilik akaun Facebook terbabit.

"Justeru, kenyataan atau dakwaan yang dibuat menerusi hantaran itu adalah palsu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Ramsay menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial yang memaparkan tangkap layar peta penerbangan menunjukkan sebuah pesawat berada berhampiran kawasan berkenaan dengan kapsyen: "Apalah kapal terbang tu buat dekat tepi Sungai Klang di Sungai Kandis??".

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan