KOTA BHARU, 7 Jun (Bernama) -- Sebanyak 1,465 peserta dari dalam dan luar negara bakal berentap dalam kejohanan Piala FIRA Malaysia 2026 yang bermula hari ini hingga 11 Jun di Politeknik Kota Bharu (PKB).
Kejohanan anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama PKB selaku tuan rumah dan penganjur bersama itu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK Ulaimi Yahya, di sini hari ini.
Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Kementerian Pendidikan Tinggi dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kejohanan itu menghimpunkan penyertaan daripada pelajar politeknik dan kolej komuniti (POLYCC), sekolah, Institusi Pengajian Tinggi serta agensi berkaitan, kejohanan edisi ke-19 itu mempertandingkan sembilan kategori.
“Kategori yang dipertandingkan melibatkan HuroCup, Sumo Warrior, Robosot, AiBot, Simurosot, Air Drone, Business & Innovation, FIRA Autonomous Car dan MyBot. Membawa tema Robotics Igniting Future Solutions, program ini bertujuan menyediakan platform kepada pelajar, penyelidik, pensyarah dan penggiat industri robotik bagi mempamerkan inovasi, kreativiti dan kemahiran teknikal menerusi pelbagai kategori pertandingan robotik,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, peserta turut berpeluang mengembangkan kemahiran dalam bidang teknikal seperti robotik, automasi, pengaturcaraan, kecerdasan buatan dan mekatronik.
Pelajar POLYCC yang berjaya dinobatkan sebagai pemenang bagi kejohanan ini bakal berpeluang meneruskan perjuangan pada peringkat antarabangsa melalui penganjuran FIRA RoboWorld Cup and Summit 2026.
Pertandingan peringkat antarabangsa itu dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 21 Julai depan di Toronto, Kanada.
-- BERNAMA
