AM

PBBS CADANG PERUNTUKAN PESTA KAAMATAN DITAMBAH BAGI PENYEDIAAN MAKANAN HALAL

01/06/2026 03:30 PM

PENAMPANG, 1 Jun (Bernama) -- Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) mencadangkan agar kerajaan negeri menambah peruntukan bagi sambutan Pesta Kaamatan pada masa akan datang bagi membolehkan lebih banyak makanan halal disediakan kepada pengunjung.

Presiden PBBS Datuk Ruslan Muharam berkata langkah itu penting memandangkan perayaan Pesta Kaamatan kini bukan sahaja dihadiri oleh masyarakat Kadazandusun Murut (KDM), malah turut menarik kehadiran pelancong dari Semenanjung Malaysia, Brunei, serta masyarakat Islam di Sabah.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri berkata pada tahun ini PBBS mengambil inisiatif menyediakan makanan halal berkonsepkan rumah terbuka di Rumah Bisaya yang terletak di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA).

"Ramai pengunjung Muslim yang datang mencari makanan halal. Tahun ini kita membuka konsep rumah terbuka, sesiapa sahaja boleh datang menikmati makanan yang disediakan.

"Kita mencadangkan kerajaan negeri menambah peruntukan untuk Pesta Kaamatan dan pada masa sama, KDCA dapat menambah dana agar PBBS boleh menyediakan lebih banyak makanan kepada pengunjung Muslim kelak," katanya kepada Bernama.

Jumaat lepas, Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata pihak penganjur turut memperkenalkan inisiatif zon halal pada tahun ini bagi keselesaan pengunjung beragama Islam.

Ruslan berkata penyediaan makanan halal termasuk juadah tradisional secara terbuka di Rumah Bisaya tahun ini dapat direalisasikan kerana adanya peruntukan, berbanding tahun sebelumnya yang hanya terhad kepada petugas dan peserta rumah persatuan itu.

Beliau berkata antara hidangan tradisional tempatan yang disediakan kepada pengunjung termasuklah sagu, ulam-ulaman, rebung, pucuk rotan, ubi kayu, kelupis dan air minuman tradisional yang diperbuat daripada beras.

Katanya pengenalan zon khas itu membuktikan perayaan berkenaan bersifat inklusif serta milik seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang agama, sekali gus mengukuhkan ikatan persaudaraan dalam komuniti majmuk.

Dalam pada itu, Ruslan berkata PBBS turut berhasrat untuk memperkenalkan dan mempamerkan lebih banyak aksesori serta pakaian tradisional masyarakat Bisaya pada sambutan tahun hadapan.

Beliau berkata pelbagai aksesori tradisional seperti pisanggul, tanjak dan kalung pernah dipamerkan sebelum ini, namun penyertaan penggiat budaya sedikit berkurangan pada penganjuran kali ini berikutan ramai yang terikat dengan majlis perkahwinan keluarga masing-masing.

Mengulas mengenai hala tuju persatuan, Ruslan berkata PBBS kini menyasarkan peningkatan keahlian kepada 100,000 berbanding anggaran 60,000 hingga 70,000 ahli ketika ini.

Katanya sasaran itu akan dicapai menerusi kempen keahlian yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan belia khususnya pelajar sekolah menengah yang bakal menjadi pelapis penerus warisan budaya Bisaya.

Beliau berkata PBBS juga akan menyalurkan sumbangan dana sebagai galakan kepada ahli dalam kalangan pelajar yang merekodkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan