KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Allianz Malaysia Bhd (Allianz Malaysia) melancarkan kalkulator Life Planner di platform MyAllianz, yang direka untuk membantu rakyat Malaysia memahami tahap kesiapsiagaan kewangan dan keperluan perlindungan mereka dengan lebih baik melalui pendekatan yang mudah dan tersusun.
Syarikat pegangan pelaburan itu berkata kalkulator berkenaan menyediakan titik permulaan yang mudah diakses untuk individu menilai kedudukan kewangan mereka tanpa memerlukan sebarang komitmen atau hubungan sedia ada dengan insurans.
“Pengenalan Life Planner mencerminkan keperluan yang semakin meningkat terhadap kesedaran kewangan yang lebih jelas dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya ketika ramai terus berdepan keutamaan jangka panjang seperti perancangan persaraan dan perlindungan kewangan untuk tanggungan,” menurut Allianz Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.
Ia berkata kalkulator itu mampu mengubah perancangan kewangan yang kompleks kepada satu pengalaman digital yang berpandu dan diperibadikan bagi meningkatkan kesedaran kewangan.
“Menerusi pengalaman yang mudah digunakan, ia membantu pengguna menilai kedudukan kewangan mereka, mengenal pasti potensi jurang serta membuat keputusan yang lebih bermaklumat dan yakin,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Sean Wang berkata selama 25 tahun syarikat itu komited untuk melindungi masa depan rakyat Malaysia serta menyokong mereka melalui setiap fasa kehidupan.
"Hari ini, peranan kami melangkaui perlindungan – ia juga mengenai memperkasakan orang ramai dengan kejelasan dan keyakinan untuk mengharungi landskap kewangan yang semakin kompleks.
“Life Planner direka untuk memudahkan langkah pertama itu. Ia membantu orang ramai memahami kedudukan mereka dan apa maknanya, serta, mengambil tindakan dengan lebih yakin jika mereka mahu,” katanya.
Life Planner menampilkan dua alat utama, iaitu Kalkulator Persaraan dan Kalkulator Nilai Hayat.
Kalkulator Persaraan membantu pengguna menilai sama ada mereka berada di landasan yang betul untuk mencapai matlamat persaraan serta menganggarkan jurang simpanan yang mungkin wujud.
Sementara itu, Kalkulator Nilai Hayat menilai kesan kewangan terhadap tanggungan sekiranya berlaku kehilangan pendapatan, sekali gus membantu pengguna memahami sama ada tahap simpanan dan perlindungan semasa mereka mencukupi.
Kedua-dua alat ini memberikan gambaran menyeluruh tentang tahap kesiapsiagaan kewangan dengan mengambil kira simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pelaburan dan aset lain, sekali gus membantu pengguna memahami kedudukan kewangan keseluruhan mereka dengan lebih jelas dan teratur, kata Allianz.
Sempena pelancaran ini, Allianz Malaysia memperkenalkan kempen ‘Allianz Plan & Win’ yang berlangsung sehingga 7 Jun, 2026 bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan alat tersebut.
Peserta yang mendaftar atau log masuk ke MyAllianz, melengkapkan satu daripada kalkulator, dan memenuhi syarat kempen berpeluang memenangi hadiah utama termasuk Dyson Airwrap Multi-Styler and Dryer, fon kepala Sony WH‑XM100M6, pembersih vakum Dyson Digital Slim Submarine, produk gaya hidup premium serta kredit Touch ‘n Go bernilai RM200.
Layari https://az.my/plan-win untuk maklumat lanjut dan https://hub.allianz.com.my/customer/#/login untuk akses portal MyAllianz.
-- BERNAMA
