KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Sebanyak RM500,000 disumbangkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) sebagai suntikan modal perniagaan bagi menyokong usahawan asnaf di bawah program SME Bank iTEKAD ISHRAF 4.0.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata sumbangan itu mencerminkan komitmen berterusan agensi berkenaan bagi membina ekosistem ekonomi Islam yang mampan.
“Melalui suntikan modal dan sinergi seperti ini, kita nampak kejayaan luar biasa apabila golongan asnaf kini sudah mempunyai pendapatan yang sangat baik. Data semasa menunjukkan program iTEKAD ISHRAF ini berjaya membantu kira-kira 420 usahawan asnaf di seluruh negara bagi kohort kali ini.
“Ada dalam kalangan mereka juga berjaya meraih pendapatan antara RM60,000 hingga RM70,000 sebulan, serta mencatatkan nilai jualan tahunan hingga RM1.5 juta,” katanya pada Majlis Graduasi SME Bank iTEKAD ISHRAF 4.0, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin serta Pengerusi SME Bank Zulkiflee Hashim.
Sementara itu, Mohamad berkata Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan terus memperkasa ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi pelbagai inisiatif serta bantuan yang disalurkan melalui SME Bank, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional), Bank Rakyat, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), UDA Holdings Berhad dan Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN).
Beliau berkata setakat April lepas, inisiatif “PowerUp 10K” telah menyalurkan lebih RM4 bilion kepada lebih 154,000 PMKS di seluruh negara.
“Ini disokong oleh RM100 juta bagi program pembangunan kapasiti usahawan. Bagi memudahkan akses, kerajaan juga akan melancarkan Portal Hebatkan Perniagaan Malaysia pada Jun 2026 sebagai platform sehenti sokongan usahawan," katanya.
Diterajui oleh Bank Negara Malaysia, program iTEKAD ISHRAF yang dilaksanakan SME Bank bertujuan memperkasa usahawan asnaf melalui latihan, bimbingan dan sokongan modal permulaan bagi meningkatkan taraf ekonomi.
Selain itu, ia bagi membantu mereka beralih daripada penerima zakat kepada pembayar zakat, sekali gus mencerminkan peranan kewangan sosial Islam dalam membina komuniti usahawan yang lebih berdaya tahan dan mampan.
-- BERNAMA
