AM

KUSKOP TELITI LAPAN RESOLUSI GERAKAN KOPERASI BAGI PERTIMBANGAN BELANJAWAN 2027

11/06/2026 10:20 PM

PETALING JAYA, 11 Jun (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan meneliti lapan resolusi yang dikemukakan oleh gerakan koperasi negara sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk pertimbangan dalam Belanjawan 2027.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Mohamad Alamin berkata resolusi yang dibentangkan pada Konvensyen Konsultasi Belanjawan Koperasi Malaysia 2027 itu akan diperhalusi di peringkat kementerian bagi memastikan setiap cadangan mempunyai justifikasi yang kukuh.

“Kita akan bincang di peringkat kementerian terlebih dahulu dan memperhalusi segala apa yang telah dicadangkan termasuk (dana) RM500 juta yang dipohon, sebelum kita serahkan kepada MOF,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan konvensyen itu di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Saidatu Akhma Hassan, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dan Ketua Pegawai Esekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Nor Afifah Abdul Razak.

Hasil konvensyen itu, lapan resolusi dikemukakan termasuk cadangan mengiktiraf ANGKASA sebagai badan apex dalam memperkukuh ekosistem koperasi, selain memohon peruntukan RM500 juta bagi 2027 untuk pembangunan dan penskalaan gerakan koperasi di seluruh negara.

Mohamad berkata sektor koperasi di negara ini merupakan pemacu ekonomi yang signifikan dengan penglibatan hampir 17,000 buah koperasi dan keahlian mencecah 7.4 juta orang, sekali gus menyumbang sebanyak 3.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas.

Sehubungan itu, beliau berkata gerakan koperasi digalakkan untuk beralih daripada kebergantungan kepada geran kerajaan semata-mata kepada entiti perniagaan mampan yang mampu menjana pendapatan tinggi.

“Betul geran itu penting, tetapi kerajaan hari ini tidak boleh membiarkan koperasi bergantung terus kepada bantuan geran semata-mata. Kita mahu mereka lebih agresif memanfaatkan instrumen kewangan lain seperti Tabung Modal Pusingan di bawah SKM,” katanya.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata perolehan gerakan koperasi negara kini mencecah RM81.62 bilion, melepasi sasaran yang ditetapkan dalam Dasar Koperasi Malaysia (DAKoM) 2030.

Beliau berkata pencapaian itu membuktikan koperasi semakin berperanan sebagai pemacu ekonomi rakyat dan perlu diarusperdanakan sebagai rakan pelaksana utama kerajaan dalam sektor ekonomi rakyat, keterjaminan makanan, ekonomi digital serta pembangunan komuniti luar bandar.

“Sudah tiba masanya pendekatan terhadap sektor koperasi diperkukuh daripada sekadar pendekatan sokongan kepada pendekatan pengupayaan strategik dalam pelaksanaan agenda ekonomi negara.

“Melalui konvensyen ini, kita mahu buktikan kepada kerajaan bahawa sektor koperasi serius dalam memacu ekonomi dan berharap permohonan instrumen kewangan seperti matching grant mahupun micro-financing dapat dipertimbangkan secara serius,” katanya.

Abdul Fattah berkata konvensyen itu menjadi platform strategik untuk menghimpunkan aspirasi, cadangan dan pandangan gerakan koperasi bagi diketengahkan dalam penyediaan Belanjawan 2027 serta pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan