AM

WARTAWAN REDAH LALUAN SUKAR KONGSI REALITI KEHIDUPAN MASYARAKAT

19/06/2026 10:30 AM

Oleh Anis Nabilla Md Wazilah

KUANTAN, 19 Jun (Bernama) -- Di sebalik kejayaan menjejaki dan menyelamatkan pendaki wanita Jaslinda Saludin yang hilang selama 15 hari di Gunung Batu Putih, terselit sebuah kisah lain yang jarang disedari ramai, iaitu perjalanan sukar untuk membawa berita itu keluar dari sebuah perkampungan Orang Asli yang terpencil di pedalaman Perak.

Penemuan Jaslinda yang selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, Tapah oleh penduduk Orang Asli bukan sahaja meredakan kebimbangan ramai, tetapi turut menarik perhatian kepada  sebuah komuniti di pedalaman, selain cabaran petugas media mendapatkan perkembangan sebenar dari lokasi kejadian.

Perjalanan ke Pos Musoh bukanlah sesuatu yang mudah, apabila laluan balak dengan perjalanan lebih dua jam menggunakan kenderaan pacuan empat roda (4WD), merupakan satu-satunya akses utama melalui jalan berbatu, berlumpur dan terasing jauh daripada kemudahan asas.

Bagi petugas media, usaha mendapatkan laporan dari kawasan itu bukan sekadar tugasan harian, sebaliknya satu ujian ketahanan fizikal dan komitmen terhadap tanggungjawab menyampaikan maklumat kepada masyarakat.

Namun kesukaran itu, turut membuka  realiti kehidupan komuniti Orang Asli di pedalaman yang masih bergelut dengan isu infrastruktur asas termasuk keadaan jambatan kayu yang uzur di kawasan kejadian.

Hakikatnya, kisah Jaslinda hanyalah satu daripada banyak cerita yang wujud di kawasan pedalaman yang sukar dijejaki media, walaupun sarat dengan nilai kemanusiaan, budaya dan cabaran hidup komuniti Orang Asli.

Mengambil contoh di Pahang, yang mempunyai populasi masyarakat Orang Asli terbesar di Semenanjung dengan hampir 85,000 orang pada 2024, sebahagian besar komuniti masih menetap di kawasan pedalaman dan pinggir hutan, sekali gus menjadikan usaha mendapatkan maklumat di lapangan semakin mencabar.

Bagi wartawan New Straits Times (NST) Pahang T N Alagesh, 46, pengalaman membuat liputan di kawasan pedalaman sejak 2007 bukan sekadar tugasan, tetapi perjalanan yang mengubah perspektif terhadap kehidupan masyarakat Orang Asli.

Antara laporan yang paling memberi kesan kepadanya ialah kisah seorang guru Ahmad Saidin Mohd Idris yang berulang-alik sejauh 135 kilometer setiap hari dari Kuala Medang ke Sekolah Kebangsaan Lenjang, Lipis demi memastikan anak-anak Orang Asli tidak tercicir dalam pendidikan.

“Semasa tugasan pada 2017 itu, kami menggunakan kenderaan pacuan empat roda kerana perlu menempuh laluan lebih 60 kilometer melalui jalan tanah merah dan becak, yang mengambil masa lebih dua jam sehala.

“Walaupun mencabar, kami tetap teruskan kerana mahu membawa realiti sebenar kepada masyarakat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pengalaman melalui laluan hutan tebal dan kawasan tanpa kemudahan asas, memberi gambaran jelas tentang pengorbanan pendidik di pedalaman serta cabaran komuniti setempat.

“Cikgu Ahmad Saidin memulakan perjalanan seawal 5 pagi setiap hari. Kesungguhan beliau memastikan anak-anak Orang Asli tidak tercicir dalam pendidikan sangat memberi inspirasi,” katanya.

Beliau berkata ketika itu, Sekolah Kebangsaan Lenjang masih bergantung kepada sungai sebagai sumber air, menggunakan tenaga solar untuk elektrik dan hanya mempunyai komunikasi terhad melalui sistem satelit.

Sementara itu, wartawan Kosmo! Abdul Rashid Abdul Rahman, 50, berkata media memainkan peranan penting sebagai jambatan antara komuniti pedalaman dan masyarakat luar, bagi memastikan suara mereka sampai kepada pihak berkaitan.

Beliau berkata dalam satu liputan di Kampung Kundang, Rompin, beliau pernah menemui seorang warga emas Orang Asli yang hidup dalam keadaan serba kekurangan, di rumah diperbuat daripada buluh dan plastik.

“Saya kemudian mengambil keputusan untuk ke rumahnya dan mendapati keadaannya amat menyayat hati, termasuk terpaksa menggunakan semula lampin pakai buang kerana kekangan kewangan,” katanya.

Beliau berkata laporan yang dihasilkan diharap dapat membuka mata pihak berkaitan untuk memberikan bantuan sewajarnya.

Bagi pengamal media, cabaran geografi dan logistik bukan penghalang untuk menyampaikan kisah dari pedalaman, namun mereka berharap akses liputan dan sokongan dapat diperkukuh bagi membolehkan lebih banyak realiti komuniti terpinggir diketengahkan kepada masyarakat.

Sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA), kisah seperti ini turut mengingatkan bahawa di sebalik setiap berita, ada perjalanan panjang yang dilalui petugas media demi membawa suara mereka yang jarang didengari.

HAWANA 2026 akan berlangsung pada 20 Jun, di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang dan akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan