AM

LEBIH 70 ANUGERAH DISAMPAIKAN PADA ANUGERAH PEMAJU HARTANAH ASEAN, JENAMA KUALITI TERBAIK 2025/2026

20/06/2026 12:04 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- Lebih 70 anugerah berprestij disampaikan kepada pemaju hartanah cemerlang, jenama berwawasan serta pemimpin industri pada Anugerah Pemaju Hartanah ASEAN 2025/2026 dan Anugerah Jenama Kualiti Terbaik 2025/2026 yang berlangsung malam ini.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Lo Su Fui bersama Pengarah Urusan Des Prix Infinitus Media Hagenz Choo.

Dianjurkan oleh Des Prix Infinitus Media, majlis gilang-gemilang itu meraikan kecemerlangan, inovasi dan pencapaian cemerlang dalam sektor pembangunan hartanah serta perniagaan di seluruh rantau ASEAN.

Dalam ucapannya, Lo berkata Anugerah Pemaju Hartanah ASEAN mengiktiraf pemimpin industri yang mentransformasikan bandar dan memperkukuh komuniti di seluruh Asia Tenggara menerusi projek pembangunan mereka.

“Usaha mereka menyumbang secara signifikan kepada pembangunan bandar mampan dan kemajuan ekonomi di seluruh rantau ini, khususnya dalam memajukan bandar serta komuniti mampan, yang memberi tumpuan kepada penciptaan ruang bandar yang inklusif, selamat, berdaya tahan dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.

Lo berkata Anugerah Jenama Kualiti Terbaik menghargai perniagaan yang telah membina reputasi kukuh menerusi kualiti, inovasi dan kecemerlangan pengguna, di samping meningkatkan penerapan nilai berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan jangka panjang mereka.

“Saya berbangga melihat Kuala Lumpur terus berkembang sebagai sebuah bandar raya yang dinamik dan progresif, seiring dengan perancangan bandar yang bertanggungjawab serta komitmen Malaysia ke arah neutral karbon,” katanya.

Sementara itu, Choo berkata platform berkenaan bertujuan mengetengahkan organisasi yang bukan sahaja mencapai prestasi cemerlang, malah turut menunjukkan kepimpinan berani dalam industri masing-masing.

“Di Des Prix Infinitus Media, kami bukan sekadar sebuah syarikat penerbitan, sebaliknya kami adalah pencerita kejayaan, pencipta kredibiliti serta peneraju platform yang menghimpunkan pemimpin industri bagi mengiktiraf kecemerlangan dan memberi inspirasi kepada kemajuan.

“Anugerah Pemaju Hartanah ASEAN mengiktiraf pemaju yang memahami bahawa hartanah bukan sekadar tanah dan bangunan. Ia adalah tentang mencipta nilai sebenar untuk masyarakat,” katanya.

Beliau berkata Anugerah Jenama Kualiti Terbaik meraikan jenama yang berjaya meraih kepercayaan, kesetiaan dan penghargaan pengguna menerusi konsistensi, inovasi, pendekatan berteraskan pelanggan serta keberanian untuk terus berkembang.

Acara itu menarik penyertaan daripada pelbagai sektor, sekali gus mencerminkan pengaruh ASEAN yang semakin berkembang sebagai hab kecemerlangan perniagaan serta usaha kolektif pemimpin industri dalam memacu pertumbuhan serantau.

Des Prix Infinitus Media ialah sebuah syarikat media berpangkalan di Malaysia yang berdedikasi dalam mengiktiraf kecemerlangan perniagaan serta mengetengahkan kepimpinan berinspirasi merentas pelbagai industri menerusi pelbagai anugerah dan penerbitannya.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan