AM

TELEKOM MALAYSIA RAKAN STRATEGIK BAHARU TABUNG KASIH@HAWANA - FAHMI

20/06/2026 04:39 PM

BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Telekom Malaysia (TM) diumumkan sebagai rakan strategik baharu Tabung Kasih@HAWANA, dengan menyumbang sebanyak RM500,000 bagi memastikan kelangsungan bantuan kebajikan kepada pengamal dan bekas pengamal media di negara ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sumbangan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu, akan membolehkan lebih ramai warga media yang memerlukan, menerima bantuan kewangan.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak TM atas komitmen serta keprihatinan yang ditunjukkan, dalam menyokong kebajikan pengamal media menerusi sumbangan yang amat bermakna ini,” katanya pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di sini, hari ini.

Majlis bertemakan “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” itu, dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Fahmi berkata sejak diperkenalkan pada April 2023 hingga hari ini, Tabung Kasih@HAWANA telah menyalurkan bantuan berjumlah RM2.26 juta kepada 773 pengamal media di seluruh negara.

Beliau berharap lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat swasta tempatan dapat mencontohi langkah TM, dalam memberikan sokongan kepada organisasi media tempatan melalui pelbagai bentuk kerjasama strategik termasuk program CSR, penajaan dan inisiatif pembangunan industri.

Fahmi berkata perkara itu penting, kerana syarikat media kini berdepan cabaran besar terhadap perbelanjaan pengiklanan, apabila jumlah yang dibelanjakan oleh syarikat untuk menempah iklan dan media buy menurun dari RM4.5 billion setahun kepada kira-kira RM2 bilion setahun, sejak kebelakangan ini.

“Oleh itu, mesej yang ingin saya sampaikan kepada syarikat-syarikat termasuk GLC dan yang lain-lain ialah, ambillah peluang ini dan buatlah media buy dengan syarikat-syarikat media tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan Kementerian Komunikasi akan menyokong pelaksanaan Projek Sigma 2.0, yang diusahakan oleh Google Malaysia dengan kerjasama Majlis Media Malaysia (MMM) dan Institut Kewartawanan Malaysia (MPI), bagi memastikan petugas media terus mendapat peluang untuk meningkatkan pengetahuan dalam teknologi serta AI.

Pada masa sama, beliau mengalukan pengukuhan hubungan media serantau melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara BERNAMA dan TATOLI, agensi berita nasional Timor-Leste. 

Fahmi berkata kerjasama itu, mencerminkan komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama media serantau, mempromosikan kewartawanan yang berwibawa serta meningkatkan pertukaran maklumat dalam kalangan negara ASEAN.

“Kerjasama ini amat bermakna, memandangkan Timor-Leste telah menjadi anggota ke-11 ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur tahun lepas. Malaysia mengalu-alukan pencapaian ini sebagai bukti komitmen ASEAN terhadap keterangkuman, perpaduan serantau dan kemakmuran bersama,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan