AM

KERAJAAN SETUJU TERUSKAN DANA INOVASI MEDIA - PM ANWAR

20/06/2026 05:13 PM

BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Kerajaan bersetuju untuk meneruskan Dana Inovasi Media bagi membantu organisasi media tempatan melaksanakan inovasi dan pengukuhan operasi transformasi digital industri berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sebelum ini kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM30 juta bagi dana berkenaan yang diumumkan semasa Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun lepas.

Beliau berkata, sehingga kini, sejumlah 72 syarikat media menerima pembiayaan keseluruhan berjumlah RM24.57 juta daripada dana tersebut.

“Jadi, kita sedia peruntukan dan seboleh mungkin dana itu digunakan. Kemudian kita tambah supaya tabung itu tidak akan diganggu atau kekurangan.

“Jadi, ini berita baik untuk kita. Jalankanlah kerja baik,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Kemuncak HAWANA 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, di sini, hari ini, yang turut disiarkan secara langsung menerusi Bernama TV.

Dana Inovasi Media diwujudkan bagi menyokong transformasi industri media melalui pembangunan projek inovatif merangkumi aspek kandungan, teknologi media dan strategi digital.

Dana itu turut memberi tumpuan kepada latihan pengamal media, penghasilan kandungan kreatif dan interaktif serta usaha memperkukuh penyampaian maklumat yang tepat dan relevan kepada rakyat.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan