DUNIA

PIALA DUNIA 2026: ALMIRON PEMAIN PERTAMA DILAYANG KAD MERAH KERANA TUTUP MULUT

20/06/2026 08:41 PM

SANTA CLARA (California), 20 Jun (Bernama-dpa) -- Pemain Paraguay, Miguel Almiron menjadi pemain pertama dalam sejarah Piala Dunia yang dilayangkan kad merah kerana menutup mulutnya ketika terlibat dalam satu pertengkaran, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Almiron diarah keluar padang oleh pengadil perlawanan, Ivan Barton dari El Salvador pada masa kecederaan babak pertama selepas semakan video (VAR) mendapati beliau melanggar peraturan baharu ketika bertukar kata-kata dengan pemain Turkiye, Mert Muldur susulan satu kekasaran.

Paraguay sedang mendahului 1-0 pada ketika itu hasil gol seawal minit kedua oleh Matias Galarza yang dijana menerusi hantaran Almiron.

Peraturan baharu itu diperkenalkan baru-baru ini atas saranan Presiden FIFA Gianni Infantino bagi menangani dan menghukum mereka yang terlibat insiden berbaur perkauman atau sebarang bentuk diskriminasi di atas padang.

Langkah berkenaan diambil susulan tindakan pemain Benfica, Gianluca Prestianni yang menutup mulut menggunakan jersinya ketika melemparkan kata-kata hinaan terhadap pemain Real Madrid, Vinicius Junior dalam aksi Liga Juara-Juara pada Februari lepas.

Vinicius Junior mendakwa dirinya menjadi mangsa perkauman, manakala Prestianni mengaku mengeluarkan kata-kata makian berbentuk homofobia dan telah dikenakan tindakan gantung perlawanan oleh UEFA.

 -- BERNAMA-dpa

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan