JENAYAH & MAHKAMAH

DATA LAUTAN ASET STRATEGIK SOKONG KESELAMATAN NEGARA - KP HIDROGRAFI NASIONAL

20/06/2026 06:28 PM

KLANG, 20 Jun (Bernama) -- Data lautan pada hari ini bukan lagi sekadar maklumat teknikal untuk tujuan navigasi, sebaliknya telah berkembang menjadi aset strategik yang menyokong keselamatan negara, pembangunan Ekonomi Biru, pengurusan sumber marin serta kestabilan perdagangan antarabangsa.

Ketua Pengarah Hidrografi Nasional, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Muda Dr Najhan Md Said berkata data hidrografi yang tepat, terkini dan boleh dipercayai menjadi pemangkin kepada keselamatan pelayaran.

“Kita satu agensi kerajaan yang mempunyai fungsi yang besar bukan sahaja kepada ketenteraan, kami juga mempunyai fungsi kepada syarikat nasional sebagai agensi pengawasan hidrografi negara, dan mewakili kerajaan Malaysia sebagai wakil pada pertubuhan hidrografi dunia.

"Fungsi kami amat signifikan membolehkan ekonomi berjalan lancar kerana perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka yang selamat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Hidrografi Sedunia 2026, di sini hari ini.

Beliau berkata sebarang gangguan terhadap keselamatan dan kelancaran pelayaran di laluan strategik tersebut berpotensi memberikan kesan langsung kepada rantaian bekalan global, pasaran tenaga dan ekonomi serantau.

Dalam pada itu, beliau berkata kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analitik data raya, sistem autonomi dan platform geospatial digital turut mengubah landskap pengumpulan, pemprosesan serta perkongsian data hidrografi. 

Najhan berkata kejayaan transformasi mampu dicapai dengan tahap kerjasama dan kesediaan semua pihak untuk berkongsi data, kepakaran dan tanggungjawab secara bersepadu.

Hari Hidrografi Sedunia disambut setiap 21 Jun oleh komuniti hidrografi antarabangsa bagi mengiktiraf sumbangan bidang itu terhadap keselamatan pelayaran dan pembangunan mampan lautan, dan tema pada tahun ini ialah “Transforming How Ocean Data is Shared”. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan