AM

PENGALAMAN KEHAKIMAN BANTU PERKUKUH KREDIBILITI MMM - NALLINI

20/06/2026 07:34 PM

BUTTERWORTH,  20 Jun (Bernama) -- Pengerusi Majlis Media Malaysia (MMM) yang baharu dilantik Tan Sri Nallini Pathmanathan percaya pengalaman puluhan tahun beliau dalam bidang kehakiman mampu membantu majlis itu membina kredibiliti, mempertahankan kebebasan serta meraih kepercayaan rakyat.

Menjawab persoalan mengenai pemilihan bekas hakim untuk menerajui badan kawal selia kendiri media itu, Nallini berkata keberkesanan majlis berkenaan tidak bergantung kepada kuasa, sebaliknya kepada keupayaannya memperoleh keyakinan melalui prinsip keadilan dan kebebasan.

“Saya bukan seorang wartawan. Saya tidak pernah mengendalikan bilik berita, menentukan muka depan atau bekerja mengikut tarikh akhir bagi menyiapkan sesuatu tugasan untuk meja berita,” katanya pada Sesi Dialog Media bersama Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu berkata pengalaman beliau dalam institusi kehakiman melengkapkannya dengan kemahiran untuk mempertahankan kebebasan majlis, memastikan proses yang adil serta mengekalkan keyakinan awam terhadap setiap keputusan yang dibuat.

“Perkara utama yang boleh saya bawa ke meja ini ialah keadilan antara pihak yang tidak mempunyai sebarang kepentingan, diputuskan berdasarkan bukti dan dijelaskan secara terbuka dengan alasan yang munasabah,” katanya.

Nallini berkata Akta Majlis Media Malaysia sendiri secara jelas menetapkan bahawa pengerusinya perlu bebas daripada pengaruh politik, perkhidmatan awam dan badan perundangan, sekali gus mencerminkan keperluan kepada seorang tokoh neutral yang mampu meraih kepercayaan semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata walaupun editor dan wartawan kekal sebagai pakar dalam pelaporan serta operasi bilik berita, peranan majlis itu adalah memperkukuh ekosistem media menerusi piawaian yang berwibawa, mekanisme aduan yang berkesan serta penyelesaian pertikaian yang adil.

Mengulas mengenai hala tuju MMM, Nallini berkata antara keutamaan utama beliau adalah memastikan struktur asas majlis itu dibina berteraskan prinsip keadilan dan akauntabiliti.

“Keutamaan saya adalah terhadap kualiti dan keadilan dalam proses kita sendiri, termasuk kod etika, mekanisme aduan serta cara kita mencapai dan menjelaskan keputusan.

“Bulan-bulan awal ini sebenarnya adalah fasa membina perlembagaan institusi ini. Jika kita dapat meletakkan asas yang betul seperti keadilan asasi, pertimbangan yang seimbang dan alasan yang boleh diteliti, kedudukan majlis ini akan terbina dengan sendirinya,” katanya.

Beliau berkata prinsip kedua yang perlu diterapkan ialah media bebas juga mesti bertanggungjawab, manakala media yang bertanggungjawab pula perlu dilindungi daripada tekanan, gangguan, penyalahgunaan nama serta manipulasi.

“Kebebasan dan tanggungjawab bukanlah dua perkara yang bertentangan, sebaliknya saling melengkapi dalam membina kepercayaan,” katanya.

Sehubungan itu, Nallini berkata MMM sudah mengenal pasti tiga keutamaan segera, iaitu mewujudkan rangka kerja aduan dan penghakiman yang adil serta cekap, memperluas keanggotaan dalam industri serta menangani cabaran baharu termasuk kandungan palsu dan penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI).

“Majlis ini hanya akan memberi manfaat kepada kerajaan, industri dan masyarakat selagi ia tidak dimiliki oleh mana-mana pihak.

“Kebebasan seperti ini tidak boleh diisytiharkan hanya melalui ucapan, tetapi perlu dibuktikan menerusi setiap keputusan dan kesediaan kita untuk berbeza pandangan dengan mana-mana pihak. Itulah standard yang mahu kami pegang,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan mekanisme aduan majlis itu tidak boleh sama sekali dijadikan alat untuk membungkam wartawan kerana laporan yang berani, mencabar pihak berkuasa dan mengemukakan persoalan sukar bukanlah masalah yang perlu diperbetulkan, sebaliknya menjadi peranan penting media bebas.

“Majlis ini akan menegakkan piawaian, namun kami akan sentiasa memastikan usaha menegakkan piawaian itu tidak disalahgunakan sehingga menghalang kewartawanan yang amat diperlukan dalam sesebuah demokrasi,” katanya.

Turut hadir pada sesi dialog yang diadakan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Datuk Bahria Mohd Tamil.

Hadir sama, Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, serta pengurusan kanan organisasi media tempatan.

-- BERNAMA 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan