AM

95 KETUA KOMUNITI MADANI DI KEDAH, PERLIS TERIMA WATIKAH PELANTIKAN

20/06/2026 07:46 PM

ALOR SETAR, 20 Jun (Bernama) -- Sebanyak 95 Ketua Komuniti MADANI dari Kedah dan Perlis menerima watikah pelantikan bagi memperkukuh jaringan komunikasi kerajaan dengan rakyat serta memastikan penyampaian maklumat yang tepat dan sahih di peringkat akar umbi.

Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi Abdullah Izhar Mohamed Yusof berkata daripada jumlah itu, 68 Ketua Komuniti MADANI adalah dari Kedah, manakala 27 lagi dari Perlis.

Beliau berkata pelantikan hari ini mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh penyampaian maklumat di peringkat komuniti, selain memastikan suara rakyat terus didengari dan diambil kira dalam proses pembangunan negara.

“Komunikasi bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi memastikan maklumat itu difahami, diyakini dan akhirnya membawa tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Komuniti MADANI memainkan peranan penting sebagai mata, telinga dan suara yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat. Mereka membantu menyalurkan isu komuniti kepada kerajaan, menjelaskan dasar serta bantuan baharu dan menangani kekeliruan serta maklumat palsu,” katanya.

Abdullah Izhar berkata demikian pada Program Jiwa MADANI dan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Komuniti MADANI Kedah dan Perlis di sini hari ini.

Katanya, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa menitikberatkan aspek komunikasi berkesan supaya setiap dasar dan inisiatif yang diperkenalkan dapat difahami serta dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat.

Beliau berkata Ketua Komuniti MADANI turut berperanan memastikan bantuan bersasar seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan bantuan menerusi sistem Budi MADANI sampai kepada golongan yang layak, sekali gus mengelakkan keciciran penerima.

Dalam pada itu, katanya, Ketua Komuniti MADANI juga perlu menjadi ejen literasi digital dalam menghadapi cabaran era teknologi yang menyaksikan peningkatan kes penipuan dalam talian, penyebaran berita palsu, buli siber serta penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Video palsu atau deepfake kini boleh dihasilkan dengan begitu mudah sehingga sukar dibezakan dengan rakaman sebenar. Sebab itu saya menyeru supaya masyarakat sentiasa mengamalkan prinsip semak dahulu sebelum sebar,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan