DUNIA

PENJAGA GOL CURACAO BERSELOROH PATUNG WAJAR DIBINA UNTUKNYA SELEPAS IKAT ECUADOR

21/06/2026 06:17 PM

LONDON, 21 Jun (Bernama-PA Media/dpa) -- Penjaga gol Eloy Room secara berseloroh berkata beliau layak menerima sebuah patung di Curacao selepas aksi cemerlangnya membantu pasukan kerdil itu meraih mata pertama mereka di Piala Dunia menerusi keputusan seri 0-0 dengan Ecuador di Kansas City.

Room melakukan 15 aksi menyelamat -- terbanyak oleh mana-mana penjaga gol dalam tempoh 90 minit perlawanan Piala Dunia sejak rekod mula disimpan pada 1966 -- sekali gus menjadi benteng utama pasukannya ketika skuad bimbingan Dick Advocaat bangkit daripada kekalahan 7-1 kepada Jerman dalam perlawanan pembukaan.

Satu mata itu, yang merupakan keputusan bersejarah bagi negara kecil dengan hanya 158,000 penduduk, terus menghidupkan harapan Curacao untuk mara daripada Kumpulan E. Mereka akan melangkah ke pusingan kalah mati sekiranya berjaya menewaskan Ivory Coast dalam perlawanan terakhir.

Pemain berusia 37 tahun itu menjangkakan beliau akan diberikan penghormatan di tanah airnya.

"Ia amat bermakna, ia terasa seperti kemenangan. Ini mata pertama kami di Piala Dunia dan ia amat bermakna," katanya.

"Ia sesuatu yang luar biasa. Perjalanan yang kami lalui untuk sampai ke tahap ini dan kini kami berada di sini serta membuktikan kami mempunyai semangat juang yang tinggi. Perasaannya sukar digambarkan," katanya.

Menurut Room, beliau sedar telah melakukan banyak aksi menyelamat dan jumlah itu merupakan rekod yang telah lama bertahan, sekali gus membuatkan beliau berasa amat bangga.

"Saya sedikit terkilan kerana kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol. Namun bagi kami, keputusan ini terasa seperti satu kemenangan.

"Saya rasa dalam tempoh 40 tahun lagi saya masih akan mengingati detik ini. Ia sesuatu yang luar biasa. Saya rasa sebuah patung wajar didirikan untuk saya di Curacao sekarang," tambahnya.

Profil Room dijangka meningkat seperti yang dialami penjaga gol Cape Verde, Vozinha, yang memperoleh beberapa juta pengikut baharu di Instagram selepas aksi cemerlangnya membantu negara kecil itu mengikat juara Eropah, Sepanyol, 0-0.

Room, yang beraksi bersama kelab Miami FC dalam saingan USL Championship, menyaksikan jumlah pengikutnya meningkat daripada 122,000 kepada 724,000 dalam tempoh sejam.

Peningkatan populariti itu berpunca daripada persembahan luar biasanya. Beliau mula diuji seawal minit ketiga apabila menafikan percubaan Enner Valencia menerusi satu aksi menyelamat yang cemerlang.

Room terus menjadi benteng utama pasukan apabila menepis percubaan Gonzalo Plata dan sekali lagi menggagalkan percubaan Valencia menerusi satu aksi menyelamat rendah yang mengagumkan.

Curacao turut mempunyai beberapa peluang dengan bekas pemain tengah Manchester United, Tahith Chong, mensia-siakan situasi serangan tiga lawan dua, manakala percubaan Juninho Bacuna disekat dalam kawasan penalti.

Anak buah Advocaat hampir mendahului pada minit ke-60 apabila penjaga gol Ecuador, Hernan Galindez melakukan dua aksi menyelamat berturut-turut untuk menafikan Leandro Bacuna dan Livano Comenencia sebelum Moises Caicedo menyekat percubaan susulan Jurgen Locadia.

Namun, Room terus memastikan pasukannya kekal bersaing apabila menafikan percubaan Valencia dan Kevin Rodriguez, sebelum tandukan Piero Hincapie tersasar manakala Plata pula gagal memanfaatkan peluang selepas mara ke dalam kawasan penalti.

Rodriguez kemudian hampir menjaringkan gol apabila percubaannya terkena palang gol, namun Room muncul wira apabila negara Caribbean itu berjaya mempertahankan keputusan seri untuk mencatat keputusan bersejarah.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan