AM

KPKT PERUNTUK RM8.4 JUTA PENGGANTIAN LIF BAHARU DI PERUMAHAN STRATA N. SEMBILAN

23/06/2026 03:51 PM

NILAI, 23 Jun (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Perumahan Negara memperuntukkan RM8.4 juta bagi menggantikan 20 lif di empat lokasi perumahan berstrata milik swasta di kawasan Nilai dan Seremban.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan J Arul Kumar berkata Program Penyelenggaraan Perumahan Mampu Milik Berstrata (PPPMB) Lif Perumahan Swasta 2025 itu dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun ini.

Beliau berkata peruntukan itu termasuk di Pangsapuri Desa Palma, Bandar Baru Nilai melibatkan RM2.3 juta bagi menggantikan lima lif baharu di lima blok bangunan lapan tingkat itu.

"Sekarang ini, setiap blok mendapat satu lif baharu dan dengan penggantian ini kita harap penduduk dapat menikmati kemudahan yang lebih selesa dan selamat," katanya kepada pemberita selepas tinjauan kerja di Pangsapuri Desa Palma di sini hari ini.

Arul Kumar berkata selain Desa Palma, projek sama turut dilaksanakan di Pangsapuri Desa Cempaka, Pangsapuri Desa Jati Fasa 2 di Bandar Baru Nilai dan Pangsapuri Taman Seremban Putra, Seremban.

Beliau berkata bantuan itu melengkapi pelbagai inisiatif penyelenggaraan yang telah disediakan KPKT sebelum ini menerusi Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM), termasuk kerja-kerja pembaikan bumbung, pendawaian elektrik, sistem perpaipan dan kemudahan sanitari.

Sementara itu, wakil penduduk S Tamilchellvan, 64, berkata dia berasa lega dengan penggantian lif baharu di pangsapuri berusia 24 tahun itu yang sebelum ini sering berdepan dengan pelbagai masalah, termasuk insiden penghuni terperangkap dalam lif yang berlaku hampir setiap bulan.

"Tahun lepas, seorang ibu mengandung dan anak kecil terperangkap dalam lif hampir 30 minit, kita hubungi bomba dan mereka terpaksa pecahkan pintu lif dan kos membaiki pintu lif pula adalah sangat mahal," kata pensyarah di sebuah kolej swasta di sini.

Seorang penduduk Dr B Malathy 48, melahirkan rasa syukur kerana pangsapuri Desa Palma menerima lif baharu yang akan memberi keselesaan kepada komuniti di sini.

Beliau berkata majoriti penduduk di pangsapuri itu terdiri daripada pelajar kolej, pensyarah, guru dan yang mementingkan keselesaan serta keselamatan kediaman.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan