ISTANBUL, 28 Jun (Bernama-Anadolu) -- Tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan lanjut ke atas beberapa sasaran di Iran selepas Tehran melancarkan serangan terbaharu terhadap sebuah kapal dagang berhampiran Selat Hormuz, dakwa Komando Pusat Tentera Amerika Syarikat (CENTCOM) pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
CENTCOM memaklumkan bahawa serangan itu dilaksanakan pada Sabtu atas arahan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera AS.
Menurutnya, tindakan itu diambil selepas Iran melancarkan dron kamikaze yang mengenai kapal tangki berdaftar Panama, M/T Kiku, pada 4.30 pagi waktu Timur AS (0830 GMT) ketika kapal itu sedang belayar berhampiran Selat Hormuz dengan membawa lebih dua juta tong minyak mentah.
CENTCOM berkata Iran sebelum ini diberi peluang untuk mematuhi perjanjian gencatan senjata susulan serangan AS sehari sebelumnya sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas kapal dagang M/V Ever Lovely, namun Tehran "memilih untuk tidak berbuat demikian."
"Pasukan CENTCOM hari ini melancarkan serangan sebagai tindak balas secara langsung terhadap tindakan agresif berterusan Iran ke atas perkapalan komersial," menurut kenyataan itu.
Menurut CENTCOM, pesawat tentera AS menyasarkan infrastruktur pemantauan ketenteraan Iran, sistem komunikasi, tapak pertahanan udara, kemudahan penyimpanan dron serta keupayaan peletakan periuk api.
Komando itu turut memaklumkan bahawa pelayaran kapal dagang melalui Selat Hormuz masih diteruskan, sambil menegaskan bahawa pasukan AS "kekal berwaspada, berkeupayaan tinggi dan bersedia."
Sementara itu, portal berita berpangkalan di AS, Axios, yang memetik seorang pegawai AS, sebelum ini melaporkan bahawa tentera negara itu sedang melancarkan serangan terhadap sasaran Iran di sekitar Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas sebuah kapal tangki komersial.
Fox News memetik seorang pegawai kanan pertahanan AS, melaporkan bahawa Iran telah membina semula sistem pertahanan udara dan peluru berpandunya di sepanjang Selat Hormuz selepas kempen pengeboman AS berakhir pada 7 April.
Pegawai itu berkata keadaan itu menyebabkan tentera AS terpaksa melancarkan semula serangan ke atas kawasan seperti Pulau Qeshm dan Sirik, yang sebelum ini pernah menjadi sasaran.
"Sejak gencatan senjata pada 7 April, Iran telah membina semula keupayaannya, justeru sasaran tertumpu di sekitar Selat Hormuz," kata pegawai itu seperti dipetik laporan berkenaan.
"Masih banyak aset mereka yang rosak, namun mereka telah memindahkan sebahagian daripadanya ke lokasi lain."
-- BERNAMA-ANADOLU
