PUTRAJAYA, 29 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Malaysia Digital 2030 (MD2030), satu rangka tindakan nasional bagi tempoh 2026-2030, yang menandakan peralihan drastik fokus negara daripada pengguna teknologi kepada pengeluar inovasi tempatan.
Majlis pelancaran turut dihadiri Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Menurut kenyataan Kementerian Digital, rangka tindakan itu menggariskan sasaran nasional yang komprehensif menjelang 2030, iaitu 30 peratus sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK); 500,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam ekonomi digital; penjimatan RM4.5 bilion bagi sektor awam hasil pendigitalan, dan 95 peratus perkhidmatan kerajaan disediakan secara dalam talian dari hujung ke hujung.
Kementerian Digital dilantik sebagai kementerian peneraju yang bertanggungjawab memandu hala tuju strategik negara bagi merealisasikan agenda ke arah Negara AI 2030.
Menurut kementerian, MD2030 digerakkan melalui tujuh bidang utama, iaitu kerajaan, ekonomi, infrastruktur, bakat, masyarakat, kepercayaan dan keselamatan serta inovasi, dengan setiap teras diterajui kementerian berkaitan bagi memastikan pelaksanaan bersepadu melalui pendekatan menyeluruh kerajaan.
Setiap teras akan diketuai seorang Ketua Kluster, antaranya Teras Kerajaan diterajui oleh Shamsul Azri, Teras Ekonomi oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Teras Infrastruktur (Fahmi); Teras Bakat (Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R.Ramanan); Teras Masyarakat (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri); Teras Kepercayaan dan Keselamatan (Gobind) dan Teras Inovasi (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang).
Di bawah Teras Kerajaan, tumpuan diberikan kepada memperkenalkan dan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam melalui penubuhan GovTech Malaysia.
Teras Ekonomi pula menumpukan usaha memacu Malaysia sebagai hab inovasi dan perdagangan digital serantau melalui produk “Made by Malaysia”, adaptasi teknologi dalam Sektor Pertumbuhan dan Nilai Tinggi (HGHV), serta merealisasikan potensi data, aset digital dan Harta Intelek (IP).
Teras Infrastruktur pula memberikan fokus kepada ketersambungan Internet yang berkualiti di seluruh negara serta membangunkan infrastruktur digital masa hadapan yang mampan, termasuk pusat data, pengkomputeran awan, dan bandar pintar.
Di bawah Teras Bakat, ia bertujuan memastikan tenaga kerja negara bersedia untuk ekonomi digital melalui kerangka dasar bakat yang menyeluruh, peralihan tenaga kerja yang tangkas, dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab bakat digital serantau dan global.
Bagi Teras Masyarakat pula, kerajaan akan memastikan penglibatan inklusif semua rakyat dalam ekosistem digital melalui penginstitusian Indeks Keterangkuman Digital Malaysia, pemerkasaan komuniti luar bandar dan penyelesaian digital berimpak sosial.
Di bawah Teras Kepercayaan dan Keselamatan, kerajaan akan mengimbangi antara keselamatan digital dan keperluan inovasi melalui pengoperasian Suruhanjaya Data Negara serta pembangunan Strategi Kepercayaan Digital Negara 2026-2030.
Teras Inovasi pula akan memperkukuh rangkaian inovasi daripada peringkat penyelidikan sehingga pengkomersialan melalui ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan, inovasi dan ekonomi (R, D, C, I & E) yang mantap bagi menyokong peralihan negara menjadi pencipta teknologi digital.
Sementara itu, Gobind dalam kenyataan sama berkata pelancaran MD2030 bukti jelas bahawa Malaysia kini bersedia beralih daripada sekadar pengguna teknologi kepada sebuah negara pengeluar inovasi digital yang disegani.
"Sebagai kementerian peneraju, Kementerian Digital bukan sahaja memikul tanggungjawab untuk mencapai sasaran ekonomi yang holistik, tetapi kami komited memastikan transformasi ini dibina atas asas kepercayaan, keselamatan data dan tadbir urus yang utuh.
"Melalui pendekatan menyeluruh kerajaan (Whole-of-Government), kementerian akan memastikan gerak kerja agensi di bawah kementerian ini dilaksanakan secara bersepadu dan tuntas," katanya.
Menurut kementerian, pelaksanaan MD2030 akan diselaraskan bersama agensi di bawahnya termasuk Pejabat AI Kebangsaan (NAIO); Jabatan Digital Negara atau GovTech Malaysia; Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC); CyberSecurity Malaysia; MyDIGITAL Corporation dan Malaysia Centre for the Fourth Industrial Revolution (MYCentre4IR).
Menurut kenyataan itu, keberhasilan MD2030 bakal membentuk acuan masa hadapan Malaysia yang berteraskan identiti dan ciri-ciri Negara AI yang progresif, iaitu AI disepadukan dalam setiap aspek kehidupan; data menjadi aset strategik negara; sistem bersifat pintar dan autonomi, manakala rakyat pula berkembang maju bersama teknologi.
"Kerajaan MADANI terus komited memastikan fasa pelaksanaan ini bukan sahaja meletakkan Malaysia sebagai jaguh digital serantau, malah membawa impak transformasi yang inklusif dan saksama untuk seluruh rakyat," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
