POLITIK

PRN JOHOR: ARTHUR CHIONG OPTIMIS PERTAHAN DUN BUKIT BATU BERSANDARKAN REKOD KHIDMAT

29/06/2026 05:40 PM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

KULAI, 29 Jun (Bernama) -- Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu Arthur Chiong Sen Sern, mempertaruhkan rekod perkhidmatan cemerlangnya selama hampir sepenggal bagi mempertahankan kerusi itu dengan majoriti lebih selesa, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Calon Pakatan Harapan (PH) itu berkata keyakinan tersebut, disandarkan kepada maklum balas positif masyarakat serta gerak kerja konsisten beliau di kawasan berkenaan, sejak diberikan mandat pada 2022.

Chiong, 36, menyifatkan kemenangan dengan majoriti tipis pada PRN sebelum ini, sebagai pemangkin untuk beliau bekerja lebih keras dalam memperkukuh kedudukannya sebagai wakil rakyat menerusi pelbagai inisiatif pembangunan setempat.

Beliau berkata sejak hari pertama memegang amanah, beliau konsisten turun padang membantu menyelesaikan pelbagai isu setempat tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang politik, termasuk masalah infrastruktur dan banjir di beberapa kawasan.

“Saya kerap masuk kawasan Felda untuk menyantuni rakyat, selain menyalurkan peruntukan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), antaranya RM20,000 untuk pemasangan lampu di gelanggang futsal bagi kegunaan anak muda. Sampai sekarang pun mereka masih guna kemudahan itu,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai isu kebajikan penduduk, Chiong berkata kawasan mudah banjir seperti Kampung Rahmat dan Kampung Seri Paya, kini menunjukkan perubahan positif hasil kerjasama erat beliau dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Setiap kali banjir kilat di kawasan ini, saya antara yang paling awal masuk ke kampung untuk membantu,” katanya sambil yakin perkara itu turut diakui penduduk setempat yang melihat beliau konsisten berada di lapangan seawal kejadian berlaku.

Dalam pada itu, Chiong menzahirkan penghargaan kepada pucuk pimpinan PH, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Pengerusi PH, atas kepercayaan yang diberikan untuk beliau kembali bertanding mempertahankan DUN Bukit Batu.

“Beliau memang percaya saya bertanding di DUN Bukit Batu dan boleh dikatakan memang pucuk pimpinan pun ada keyakinan terhadap saya, kerana sentiasa bersiap sedia berkhidmat untuk parti dan rakyat,” katanya.

PRN Johor ke-16 menyaksikan Ketua PKR Cabang Kulai itu bakal berdepan persaingan empat penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) R. Kumaran, M. Premanand (Ikatan Demokratik Malaysia) (MUDA), G. Tamili (Bersama) dan calon Bebas Kamaruzaman Ali di DUN itu mempunyai seramai 49,963 pengundi berdaftar.

Pada PRN Johor ke-15 (2022), Chiong memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti tipis 137 undi selepas memperoleh 9,439 undi dalam saingan empat penjuru menewaskan Datuk S. Suppayah (BN), Tan Heng Choon (Perikatan Nasional) dan Lee Ming Wen (Warisan).

PRN Johor ke-16 akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor. 

-- BERNAMA

 

N51: BUKIT BATU : 49,963

 

1. R. Kumaran (BN-MIC)

2. Kamaruzaman Ali (Bebas/IND)

3. G. Tamili (Bersama)

4. Chiong Sen Sern (PH-PKR)

5. M. Premanand (MUDA)

 

(2022: Chiong Sen Sern: PKR: Maj: 137

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan