KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) tidak akan mencampuri urusan membabitkan institusi raja serta Dewan Keadilan dan Undang (DKU) di Negeri Sembilan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata perkara itu antara penegasan yang dibuat dalam pertemuan bersama kepimpinan parti di negeri berkenaan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya.
“Kita tidak akan pernah mencampuri soal perundangan, terutamanya institusi raja dan juga DKU di Negeri Sembilan.
“Kita mesti berada di luar daripada lingkungan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2025 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.
Ahmad Zahid berkata keutamaan BN ketika ini ialah memastikan penyatuan dalam kalangan kepimpinan dan ahli parti di semua peringkat bagi menghadapi pilihan raya.
Beliau berkata parti itu menjangka berdepan situasi yang berbeza pada PRN kali ini berbanding sebelum ini.
“Pada PRN ke-15, BN bergerak bersama parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH), namun pendekatan itu tidak akan diteruskan kali ini.
“Yang penting ialah penyatuan dalam kalangan kepimpinan dan ahli-ahli di semua peringkat untuk menghadapi pilihan raya ini,” katanya.
PRN Negeri Sembilan ke-16 ditetapkan pada 1 Ogos bagi memilih wakil untuk kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
-- BERNAMA
