KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Permintaan bagi pembinaan jalan penghubung baharu di luar bandar Sabah dan Sarawak yang masih belum mempunyai akses ke bandar utama, akan dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2027, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kementeriannya menetapkan pembinaan jalan luar bandar kekal menjadi tanggungjawab bagi menghubungkan kawasan pedalaman dengan bandar utama dan penempatan sedia ada.
“Jika tidak ada keterhubungan, maka sebarang permintaan itu akan kita masukkan dalam Belanjawan 2027,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Tahun 2025 di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata pelaksanaan projek infrastruktur baharu itu masih tertakluk kepada peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya (JKR).
KKDW katanya akan memperincikan cadangan berkenaan selepas proses perundingan dengan pihak berkaitan selesai.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid mahu KKDW mengamalkan “disiplin baharu” dengan menghentikan program yang tidak memberi impak kepada rakyat dan mempercepat inisiatif yang berkesan.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan setiap dasar, perbelanjaan dan keputusan memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar.
“Yang berjaya, kita perlu perluas. Yang perlahan, kita perlu percepat. Yang tidak memberi kesan, kita perlu perbaiki atau hentikan. Inilah disiplin baharu yang saya mahu dalam KKDW,” katanya.
Beliau berkata pembangunan desa kini bukan lagi sekadar pembinaan infrastruktur, sebaliknya perlu mewujudkan ekosistem yang menjana pendapatan dan peluang pekerjaan.
Menurut Ahmad Zahid, reformasi perkhidmatan awam bukan sekadar peralihan daripada sistem manual kepada digital, tetapi perlu bermula dengan perubahan pemikiran, keberanian membuat keputusan dan kesediaan untuk berubah.
Beliau turut menggesa warga KKDW mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, berinovasi serta mengekalkan integriti dan akauntabiliti dalam setiap tindakan.
-- BERNAMA
