AM > BERITA

Muis Roboh 67 Daripada 550 Struktur Haram Di Kampung Gersik

28/11/2023 04:24 PM

LABUAN, 28 Nov (Bernama) -- Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) telah merobohkan 67 struktur haram yang telah dikosongkan di Kampung Gersik/Saguking di sini sejak semalam.

Ketua Penolong Setiausaha (Pelaburan) MUIS Putera Aliif Al'ain Jasni berkata MUIS sebagai pemilik tanah telah mengeluarkan notis enam bulan pada 22 Mei lepas, memaklumkan penghuni untuk mengosongkan premis terbabit bagi projek pembangunan.

Beliau berkata bagaimanapun MUIS menghormati permintaan Ahli Parlimen Labuan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman agar perobohan itu ditangguhkan selama tiga bulan bagi rumah yang masih didiami.

"Penduduk yang diberi peluang tiga bulan tambahan ini oleh MUIS patut mengambil peluang untuk mendapatkan kediaman baharu sebelum tarikh akhir 28 Feb 2024," katanya kepada Bernama hari ini.

Putera Aliif berkata perobohan itu akan dilaksanakan dalam tiga zon dan kini MUIS memfokuskan pada zon dua dan tiga.

Beliau berkata berdasarkan bancian, MUIS mengenal pasti sejumlah 550 struktur haram dan daripada jumlah itu terdapat 479 rumah didiami oleh 2,656 orang. 

"Menerusi bancian pihak kami, 54 peratus merupakan bukan warganegara Malaysia manakala baki 46 peratus adalah warganegara Malaysia," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan