AM

PBAPP AKAN LEPAS AIR DARI EMD JIKA SUNGAI MUDA TERUS MENYUSUT

18/04/2024 12:33 PM

GEORGE TOWN, 18 April (Bernama) -- Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan melepaskan rizab Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) jika pihaknya tidak dapat mengabstrak air mentah yang mencukupi dari Sungai Muda, Kedah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya K.Pathmanathan berkata PBAPP boleh melepaskan maksimum 600 juta liter air mentah sehari (JLH) dari EMD yang berfungsi sebagai sumber sokongan kemarau apabila Sungai Muda terus menyusut berikutan cuaca kering.

“Sehingga Selasa lepas, paras Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang PBAPP di Seberang Perai turun kepada 1.72 meter (m) iaitu di bawah paras selamat 2.0m dan semalam paras air Sungai Muda turun kepada 1.61m di Lahar Tiang.

“PBAPP terus mengabstrak air mentah yang mencukupi daripada sungai tanpa menggunakan EMD, bagaimanapun PBAPP juga berjaya menjalankan percubaan pelepasan dari EMD sebagai persediaan untuk senario kes yang lebih teruk," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan ketika ini, PBAPP mengabstrak kira-kira 1,200 JLH dari Sungai Muda untuk pengeluaran optimum air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua dan LRA tersebut menghasilkan 85 peratus air terawat yang diagihkan di negeri ini setiap hari.

Pathmanathan berkata kapasiti pelepasan maksimum dari EMD ialah 600 JLH atau kira-kira 50 peratus daripada air mentah yang diperlukan oleh LRA Sungai Dua untuk beroperasi secara optimum.

Katanya selagi PBAPP dapat mengabstrak 600 JLH air mentah dari Sungai Muda dan melepaskan 600 JLH daripada EMD, pihaknya dapat mengelak daripada gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau berkata syarikat itu tetap bersiap siaga kerana Sungai Muda merupakan sumber air mentah utama Pulau Pinang selain memantau paras sungai dengan teliti.

Selasa lepas, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) memaklumkan paras Sungai Muda menunjukkan trend penurunan sekali gus berisiko terjadi gangguan bekalan air di daerah Kuala Muda dan penurunan tersebut disebabkan oleh faktor kemarau berterusan.

Semalam, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata bekalan air di Pulau Pinang tidak terjejas setakat ini walaupun paras air Sungai Muda yang melibatkan pengoperasian LRA Sungai Petani dan Pinang Tunggal menunjukkan trend penurunan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan