AM > BERITA

DASAR KEBANGSAAN MENGENAI PENGELUARAN, PENGGUNAAN DAN SISA PLASTIK SEDANG DIUSAHAKAN - NIK NAZMI

22/04/2024 06:46 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Kerajaan sedang mengusahakan dasar kebangsaan mengenai pengeluaran, penggunaan dan sisa plastik selaras dengan Perjanjian Plastik Global (GPT) yang masih dalam proses rundingan, selaras dengan agenda kelestarian alam.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan mempunyai Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia (2021-2030) dan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna (2018-2030).

"Saya telah mengarahkan agar undang-undang yang mengawal pencemaran plastik disemak semula untuk mengukuhkan langkah-langkah menangani pencemaran plastik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini sempena sambutan Hari Bumi dengan tema "Planet vs Plastics".

Beliau berkata Malaysia setakat ini telah mengambil bahagian dalam empat pusingan rundingan antarabangsa mengenai GPT di Jawatankuasa Rundingan Antara Kerajaan untuk Membangunkan Instrumen Antarabangsa Yang Mengikat Secara Sah mengenai Pencemaran Plastik, Termasuk dalam Alam Sekitar Marin (INC). 

Sementara itu Nik Nazmi berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) ketika ini mengetuai delegasi Malaysia ke siri rundingan INC keempat (INC-4) yang bermula esok hingga 29 April ini di Ottawa, Kanada.

Tema Hari Bumi tahun ini membawa mesej yang jelas berhubung tanggungjawab masyarakat dalam memulihara dan memelihara bumi yang diwarisi memandangkan sisa plastik memerlukan sekurang-kurangnya 500 tahun untuk diuraikan secara semula jadi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan