AM > BERITA

CAP MINTA KERAJAAN PERTIMBANG TUBUH SURUHANJAYA AMAL MALAYSIA

25/04/2024 01:50 PM

GEORGE TOWN, 25 April (Bernama) -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta kerajaan mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Amal Malaysia untuk mengawal selia badan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata suruhanjaya itu pernah dicadangkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pada 2020.

Beliau berkata setakat ini tiada statut komprehensif tunggal di Malaysia untuk mengawal selia NGO kecuali bagi badan amal dan amanah amal serta institusi yang digariskan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

"Jadual Kesembilan hanya menyatakan bahawa badan amal Islam berada di bawah senarai negeri tetapi ia tidak memperuntukkan pentadbiran mereka dan kami menggesa agar pentadbiran negeri menyediakan badan penyelia bagi badan amal Islam.

"Sejak bertahun-tahun, banyak permintaan dibuat kepada orang ramai bagi mendapatkan dana untuk membina masjid, institusi tahfiz, dan pelbagai tujuan kebajikan lain. Memastikan ketelusan dan ketulenan dalam pengumpulan dana adalah penting untuk mengekalkan kepercayaan dalam komuniti dan menjamin bahawa derma digunakan bagi tujuan yang dimaksudkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 Dr Wan Azizah pada 2020 mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Amal bagi menambah baik kecekapan, ketelusan dan tadbir urus baik dalam sektor kewangan sosial, sekali gus mencegah kejadian sumbangan yang tidak sampai ke tangan penerima.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan