AM > BERITA

PUSPEN GAMBANG USAHAKAN TANAMAN PISANG

25/04/2024 04:20 PM

KUANTAN, 25 April (Bernama) -- Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Gambang di sini juga tidak mahu ketinggalan apabila turut melaksanakan projek tanaman pisang berkelompok bermula awal tahun ini.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Sutekno Ahmad Belon berkata sebagai permulaan, sebanyak 4,000 pokok pisang tanduk dan nangka telah ditanam secara berperingkat di sekitar pusat pemulihan itu.

Beliau berkata projek bersifat serampang dua mata itu bertujuan mendedahkan individu atau klien yang sedang menjalani rawatan dan pemulihan dengan ilmu pertanian selain menjana pendapatan menerusi hasil jualan tanaman berkenaan kelak.

"Kita ajar mereka (klien) berminat untuk pertanian ini dengan kaedah betul bukan setakat tanam dan biar, kita ambil yang profesional untuk bantu kita bimbing klien ini daripada mula bersihkan kawasan sampai pasarkan (hasil) nanti," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan kuarters kakitangan yang telah dibaik pulih melibatkan peruntukan RM1.3 juta dan projek tanaman pisang berkelompok diusahakan 30 klien dengan anggaran kos RM40,000 di Puspen Gambang hari ini.

Sutekno berkata pihaknya sedang berunding dengan beberapa jabatan kerajaan bagi membantu klien terlibat mendapatkan sijil kemahiran yang boleh digunakan selepas tamat menjalani rawatan antara lain untuk memohon bantuan.

"Kalau boleh kita nak jadikan setiap Puspen ada hab tanaman masing-masing sekali gus dapat pasarkan kepada penduduk setempat. Kita juga akan komersialkan produk ini di bawah satu jenama iaitu Sokongan Untuk Kepulihan Anda atau SUKA.

"Masyarakat boleh bantu mereka dengan beli produk ini kerana satu daripada prinsip untuk klien kekal pulih, ekonomi mereka kena kuat," kata Sutekno.

Selain nanas dan pisang, Puspen di kawasan lain turut mengusahakan tanaman cendawan, sayur, rock melon termasuk ternakan lembu serta kambing.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan