AM > BERITA

'VIBE' BAHARU PERLISFM DIHARAP DAPAT CUIT HATI PENDENGAR - FAHMI

27/04/2024 12:46 PM

KANGAR, 27 April (Bernama) -- Nafas baharu atau ‘vibe’ yang disuntik dalam segmen Perlisfm bermula Mei ini, diharap dapat mencuit hati orang ramai sekali gus membina kesetiaan jenama dalam kalangan para pendengarnya.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata setiap stesen radio terutama di bawah Radio Televisyen Malaysia (RTM), perlu menonjolkan kandungan yang lebih cocok dengan para pendengar dan penonton, agar terus kekal relevan.

“Kenapa saya sebut penonton, sebab hari ini kita ada radio bervisual di mana siaran radio disiarkan secara langsung dalam talian di platform media sosial.

“Saya harap dengan vibe baharu ini, dengan siri-siri yang telah diumumkan, ramai yang dapat memanfaatkan berita, kandungan dan maklumat disampaikan oleh Perlisfm,” katanya selepas majlis Pelancaran Kemuncak Canggung Hibrid dan Vibe Baharu Perlisfm di Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra di sini, hari ini.

Fahmi berkata Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) juga perlu menjadikan aspek radio bervisual sebagai modul latihan, untuk memberi kemahiran kepada penyampai dalam menghasilkan kandungan yang lebih mantap.

Fahmi berkata nafas baharu Perlisfm menerusi slogan ‘Serasi Denganku’ itu juga, diyakini mampu menjadikan stesen radio yang mula beroperasi  1 Jun 1991 dengan nama Radio 3 Kangar itu, kekal relevan dan dijadikan contoh oleh stesen-stesen radio lain di bawah RTM untuk menghasilkan kandungan lebih sesuai dengan pendengar.

Fahmi juga telah turut dijemput bersiaran secara langsung di konti Perlisfm selama kira-kira 20 minit dalam segmen Ekspresi Kayang, yang selepas ini akan dikenali sebagai Hingaq Pagi.

Hadir sama mengiringi menteri ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Suhaimi Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Perlis Fathilhidayat Gazali.

Sementara itu, Kemuncak Canggung Hibrid akan diadakan pada 4 Mei ini di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis, yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2, pukul 9 malam selain di platform digital RTM.

Pelancaran Kemuncak Canggung Hibrid mengetengahkan gabungan tarian canggung, iaitu kesenian rakyat yang cukup sinonim dengan negeri Perlis, bersama variasi elemen kesenian lain secara kreatif dalam satu pentas pertandingan.

Program yang berkonsepkan pertandingan tarian tradisional dan kontemporari itu, bakal menyaksikan empat kumpulan berentap merebut gelaran juara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan